NAMA ketua tentera upahan Rusia, Yevgeny Prigozhin yang mengetuai Kumpulan Wagner semakin dikenali, seiring kemaraan tentera Rusia di Ukraine.
Malah, reputasinya turut mendapat pujian Presiden Vladimir Putin susulan kejayaan pejuangnya menawan bandar Bakhmut di wilayah timur Donetsk.
Hubungannya dengan Putin dikatakan sangat akrab, namun segala-galanya berubah apabila Prigozhin dituduh cuba melancarkan pemberontakan terhadap Rusia baru-baru ini.
Tidak berapa lama dahulu, Prigozhin pernah digelar sebagai ‘cef Putin’ kerana dia memiliki rangkaian restoran dan syarikat katering yang menyediakan perkhidmatan untuk Kremlin.
Prigozhin, 62, pernah menjadi banduan, namun kini dia mengawal rangkaian syarikat berpengaruh termasuk Kumpulan Wagner iaitu askar upahan yang disokong Moscow.
Selain itu, Prigozhin didakwa mengawal tiga lagi syarikat yang dituduh campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016 dan 2018.
TUBUHKAN WAGNER
Selama bertahun-tahun, Prigozhin menafikan hubungannya dengan Kumpulan Wagner, namun pada 26 September tahun lalu, Prigozhin mengesahkan bahawa dia mengasaskan militia separa tentera itu pada Mei 2014.
Menurut Prigozhin, penubuhan Kumpulan Wagner pada 2014 adalah bertujuan menyokong pasukan Rusia dalam perang di Donbass.
Pengakuan tersebut turut didorong oleh penyebaran rakaman video yang memaparkan Prigozhin sedang merekrut banduan di Penjara Mari El pada tahun lalu.
Lebih 28,000 banduan termasuk pembunuh dan perogol dijanjikan kebebasan sekiranya mereka berkhidmat selama enam bulan bersama Kumpulan Wagner dalam perang di Ukraine.
Awal tahun ini, Prigozhin turut mengaku bahawa dia adalah pengasas dan pengendali Agensi Penyelidikan Internet, sebuah syarikat Rusia yang dituduh melakukan operasi propaganda dalam talian. Prigozhin dan sekutunya dikenakan sekatan ekonomi serta tuduhan jenayah di AS dan United Kingdom (UK).
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menawarkan ganjaran AS$250,000 (RM1.16 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
ISYTIHAR PERANG
Pada Khamis, Prigozhin mengisytiharkan perang ke atas kepimpinan tentera Kremlin dan mendakwa seramai 25,000 askarnya memasuki bandar Rostov-on-Don ‘tanpa tentangan’. Rostov-on-Don menjadi lokasi ibu pejabat Kremlin untuk perang di Ukraine.
Prigozhin melancarkan tindakan luar biasa itu selepas menggesa supaya Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dipecat.
Dia berikrar akan menghukum pemimpin tertinggi tentera Rusia kerana membunuh beratus-ratus askar upahannya dalam satu serangan udara.
Prigozhin turut mendakwa bahawa kepimpinan tentera Rusia berbohong kepada Putin dan menyembunyikan 2,000 mayat askar Rusia untuk menutup kekalahan memalukan di Ukraine.
Putin melabelkan kebangkitan Kumpulan Wagner sebagai satu tindakan ‘pengkhianatan’.
DIBUANG KE BELARUS
Prigozhin akan meninggalkan Rusia dan tidak akan menghadapi tuduhan selepas membatalkan kemaraan tenteranya, kata Moscow.
Keputusan tersebut dibuat bagi meredakan krisis keselamatan paling serius di Rusia dalam beberapa dekad.
Dalam beberapa jam selepas Prigozhin berpaling tadah, Kremlin mengumumkan bekas sekutu kuatnya itu akan berlepas ke Belarus dan Rusia tidak akan mendakwa sama ada dia atau ahli kumpulannya.
Prigozhin juga mengumumkan bahawa tenteranya ‘kembali ke kem lapangan’ untuk mengelak pertumpahan darah di ibu negara Rusia.
Menurut Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, beliau menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata antara Prigozhin dan Moscow.
Kesemua askar yang turut menyertai Prigozhin tidak akan disabitkan dengan dakwaan jenayah, sementara askar yang tidak berpaling tadah ke atas Moscow akan diberikan kontrak oleh Kementerian Pertahanan Rusia.
Klik di sini untuk terus membaca