SELANGOR menjadi salah satu negeri paling hangat dan tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Ia rentetan kemungkinan tempias gelombang hijau Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung tahun lalu... Klik di sini untuk terus membaca

SELANGOR menjadi salah satu negeri paling hangat dan tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ia rentetan kemungkinan tempias gelombang hijau Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung tahun lalu membawa sehingga PRN nanti.

Ramai penganalisis politik meramalkan jika gelombang hijau atau peralihan undi besar-besaran seperti pada PRU15 lalu, diterjemahkan dalam bentuk undian semula pada PRN nanti, maka tidak mustahil PN mampu menawan Selangor.

Kerusi majoriti Melayu

Ini disokong oleh kajian pra-PRN dilakukan Ilham Centre yang mendapati PN mampu menang 29 daripada 34 kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam, andai kata peralihan undi terutama orang Melayu dan golongan atas pagar berlaku dengan lebih drastik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pertembungan sebenar PRN kali ini adalah untuk menentukan parti Melayu-Islam sama ada daripada gabungan PH-BN atau PN yang akan mendapat undi Melayu terbanyak di 34 kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus di Selangor.

Justeru Hisommudin berkata, beliau tidak hairan jika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan PN mampu mengambil alih kerajaan Selangor jika mereka berjaya menguasai 70 hingga 80 peratus undi Melayu di 34 kerusi DUN terbabit.

"Sasaran diletakkan PN ini adalah lebih realistik dan tidak boleh dipandang rendah oleh koalisi PH-BN," katanya kepada Sinar Premium.

Hisommudin berkata, cabaran utama PH-BN sekarang adalah untuk memastikan tidak berlaku perpindahan besar-besaran atau gelombang hijau atau tsunami pengundi Melayu yang berpihak kepada PN hingga mencapai lebih 70 peratus pada PRN Selangor.

"PH-BN mempunyai tugas berat untuk menyekat kemaraan gelombang hijau daripada terus berlaku di Selangor kerana ia adalah simbolik atau lambang 'referendum' pengundi Melayu kepada parti Melayu mana yang akan disokong mereka.

"Andai kata PH-BN boleh menyekat faktor itu, mereka boleh menghalang PN merampas pentadbiran kerajaan negeri, biarpun besar kemungkinan bakal kehilangan kerusi DUN terutama di utara Selangor kepada pembangkang pada PRN nanti," katanya.

Pecahan parti yang menguasai DUN Selangor selepas PRU14.

Beliau berpandangan terdapat tiga isu utama bakal mempengaruhi pola pengundi di Selangor iaitu soal bekalan air kerap terputus di kawasan tertentu, masalah banjir seperti yang melanda Sri Muda dan Hulu Langat pada 2021, peningkatan harga barang serta kos sara hidup tinggi yang menjejaskan kelompok miskin bandar.

Hisommudin juga menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, bahawa PH mampu menang sehingga 51 daripada 56 kerusi DUN Selangor dalam PRN nanti adalah kurang realistik.

Bagaimanapun, Hisommudin berkata, beliau percaya Mohd Yahya berbuat demikian dengan mencampurkan jumlah undi diperoleh PH dan BN pada PRU15 lalu, secara mudah atau simplistik.

"Saya melihat perkara itu sukar untuk menjadi realiti kerana terdapat pelbagai pemboleh ubah termasuk PRN dan PRU adalah dua situasi berbeza. Malah, peratusan keluar mengundi pada PRN biasanya mungkin lebih rendah berbanding PRU.

"Jadi apabila peratusan keluar mengundi rendah yang seperti berlaku semasa PRN Johor di mana kerusi PH terjejas teruk apabila ramai pengundi bukan Melayu tidak keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Tiga faktor penentu

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan keputusan sama ada PN atau koalisi PH-BN bakal berkuasa di Selangor bergantung kepada parti mana bakal menguasai 34 kerusi majoriti Melayu.

Noor Nirwandy menjelaskan, antara faktor mempengaruhi pola pengundian di Selangor ialah kestabilan politik negara di bawah kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin diakui oleh rakyat.

Beliau berkata, rakyat Selangor juga melihat sekiranya kerajaan negeri diterajui oleh gabungan sama seperti di peringkat kerajaan Persekutuan, maka ia memberikan impak baik dari segi sinergi pentadbiran.

"Faktor kedua mempengaruhi kemenangan PN atau PH-BN di Selangor ialah bagaimana perubahan corak sokongan pengundi muda dan atas pagar di 34 kerusi majoriti Melayu, sama ada mereka akan mengikuti trend semasa PRU15 lalu atau mereka kini mempunyai kematangan menilai apa yang lebih baik untuk negara sama ada dari segi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.

"Faktor ketiga ialah populariti pemimpin atau calon yang akan diketengahkan di 34 kerusi DUN majoriti Melayu. Jika ada calon dilihat boleh menang dan berpotensi dan diberikan mandat kerana mereka diperakui boleh melaksanakan kerja dengan baik, maka mereka akan dapat perhatian masyarakat," katanya.

Noor Nirwandy berkata, tiga faktor berkenaan menjadi justifikasi dalam kalangan pengundi di 34 kerusi majoriti Melayu-Islam yang dijangka menjadi rebutan sengit antara PH-BN dan PN, manakala 22 kerusi DUN campuran lain dijangka kekal menjadi milik PH.

Oleh itu katanya, parti daripada Kerajaan Perpaduan perlu melipatgandakan usaha dan memberikan khidmat terbaik supaya rakyat dapat mengundi berdasarkan kestabilan dan kematangan politik bukan berdasarkan emosi serta keterujaan.

"Kita juga mengharapkan parti bertanding dapat mengetengahkan manifesto terbaik untuk masyarakat dengan harapan PRN kali ini disuburkan dengan propaganda politik matang, berkisarkan kekuatan parti komponen masing-masing," katanya.

Beliau juga berharap tiada lagi pembunuhan karakter dan elemen ketaasuban politik seperti penggunaan isu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) atau 3R dimainkan dalam kempen PRN nanti.

"Parti politik juga perlu memberi tumpuan kepada isu pembangunan sosioekonomi dan tidak mempolitikkan perkara tidak berfaedah dalam PRN kali ini. Rakyat sudah muak dengan politik bersifat peribadi kerana rakyat mahukan pemimpin terbaik mewakili mereka," katanya.

Pun begitu, membaca pemikiran dan selera pengundi Melayu Selangor ternyata tidak mudah.

Ini kerana faktor pendidikan, keterbukaan, integrasi kaum dan hidup di bandar membuatkan pengundi Melayu mempunyai cita rasa politik yang agak berbeza.

Klik di sini untuk terus membaca