SHAH ALAM - Terlalu awal untuk membuat spekulasi berhubung insiden kemalangan latihan bom yang menyebabkan kehilangan nyawa dua orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sabtu lalu. Bagaimanapun penganalisis pertahanan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terlalu awal untuk membuat spekulasi berhubung insiden kemalangan latihan bom yang menyebabkan kehilangan nyawa dua orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira bagi mengenal pasti punca kejadian itu termasuk dari segi forensik, teknikal dan kecuaian manusia.

"Cuma apa yang boleh mereka lakukan adalah melihat faktor-faktor lain seperti teknikal dan tarikh luput bom. Mungkin dari segi forensik, (perlu siasat) di mana bom itu jatuh dan meletup,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Fuad menambah, lazimnya setiap pegawai pelatih akan diberikan latihan mencukupi dan beberapa prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, apa sahaja latihan yang melibatkan pelupusan bahan letupan atau balingan bom tangan, ia akan mempunyai risiko yang amat tinggi.

"Tetapi kita juga ingin melihat bagaimana persekitaran ‘bunker’ sendiri sebab apabila kita melempar bom ini, kadang-kadang bom terlepas di belakang, mungkin juga (dia) gugup tidak mahu lontar bom sehingga ia terlepas betul-betul di hadapannya.

"Terdapat longkang atau lubang-lubang khas di mana selalunya jurulatih boleh menendang bom tersebut ke dalamnya, jadi apabila letupan berlaku, serpihan itu tidaklah terlampau teruk.

"Itu semua tertakluk macam mana bentuk tempat ‘bunker’ itu sendiri. Jadi banyak perkara boleh berlaku,” ujarnya.

INFO

Insiden libatkan anggota tentera ketika latihan dan operasi

10 Julai 2022

Dua anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) disahkan meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia itu adalah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31.

17 November 2021

Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila sebuah pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

4 September 2019

Seorang pegawai komando 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) meninggal dunia terkena tembakan senjata jenis M4 semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah dalam kejadian pagi Rabu.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang berusia 36 tahun merupakan anak kepada pelakon veteran, AR Badul.

20 Mei 2018

Seorang pegawai dalam latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

TLDM dalam kenyataan media berkata, Pegawai Kadet Graduan (PKG) J. Soosaimanicckam, 27, mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesa menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

30 September 2017

Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Dalam kenyataan media TLDM, hari ini, dua anggota terbabit adalah Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26.

Berdasarkan kenyataan itu, kedua-dua mereka menjalani latihan fizikal mengikut prosedur.

Klik di sini untuk terus membaca