SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) bersedia mencetuskan gelombang pengundi yang akan merobek kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada pilihan raya negeri nanti (PRN) sekali gus menamatkan penguasaan tiga penggal PH di negeri terkaya di Malaysia sejak 2008.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, mood pengundi di Selangor kini didakwa lebih memihak kepada PN apatah lagi Pas pernah mentadbir negeri ini bersama Pakatan Rakyat selama dua penggal dengan meninggalkan rekod yang baik.
Beliau turut membidas kenyataan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang mendakwa pengundi di Selangor tidak tertarik untuk mengundi PN dalam PRN akan datang kerana enggan berlaku kemunduran seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir Pas.
Mohammad Agus pada Ahad lalu berkata, antara faktor lain adalah pengundi menolak ekstremisme dan politik ketaasuban serta tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam.
"Saya yakin gelombang itu akan berterusan, insya-ALLAH, ia lebih besar dalam PRN nanti,” kata Mohd Shafie kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Shafie menjelaskan Pas yang pernah mentadbir Selangor dari 2008 hingga 2018 telah menjadikan ekonomi negeri itu cemerlang.
Menurutnya, sejak 2008 ekonomi Selangor berada dalam keadaan sangat baik dengan hasil terkumpul lebih dua kali ganda berbanding pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.
Beliau menambah, hasil terkumpul tersebut terus meningkat dari tahun ke tahun malah rakyat Selangor menikmati pulangan lumayan melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
"Antara lain ialah pemberian air bersih percuma sebanyak 20 liter meter padu dan Skim Mesra Usia Emas (khairat kematian) sebanyak RM2,500 bagi setiap kematian,” ulasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tiada gelombang hijau di Selangor sebaliknya gelombang rakyatlah yang akan menolak PH-BN.
"Gelombang rakyat terus mara dan sehingga sekarang rakyat masih menunjukkan protes kepada kerajaan,” kata beliau.
Selangor adalah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada 12 Jun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi taklimat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam negeri mahu prestasi Selangor sebagai kubu Kerajaan Perpaduan terus dipertahankan kerana prestasi, selain komitmen untuk selamatkan negeri dan negara.
Sesetengah penganalisis berpendapat jika PH gagal mempertahankan Selangor, ia boleh mencemarkan imej Anwar sebagai Perdana Menteri, malah melemahkan pengaruh beliau di peringkat nasional memandangkan Selangor adalah penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Klik di sini untuk terus membaca