SHAH ALAM - Undi protes akan berlaku daripada pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap krisis yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, persengketaan lama antara UMNO dan DAP yang masih belum selesai menyebabkan pengundi dari kedua parti tersebut sukar menerima kerjasama itu dan kemudian mereka memutuskan untuk melakukan undi protes pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurutnya, ini kerana walaupun pemimpin kedua parti berkenaan cuba menafikan perkara tersebut namun cara penonjolan maklumat serta strategi PRN dalam Kerajaan Perpaduan dilihat seolah tidak kukuh.
"Walaupun dimaklumkan bahawa bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pun tidak bertanding pada mana-mana PRN negeri namun terdapat komponen parti yang berasa gusar mungkin tidak dijemput bersama untuk perbincangan PRN akan datang.
"Jadi apabila ada pemimpin parti di bawah Kerajaan Perpaduan mengeluarkan kenyataan dan pendapat masing-masing berhubung isu ini maka ia jelas menunjukkan hala tuju dan kesepakatan Kerajaan Perpaduan adalah pudar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sara berkata, mengenai kerjasama UMNO dengan DAP merupakan suatu perkara yang agak sukar diramal.
Menurutnya, ini kerana lebih 60 tahun UMNO telah melakarkan kedudukan DAP di minda dan hati pengundi-pengundi Melayu sebagai sebuah parti yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP bertujuan untuk mendapatkan kuasa memerintah.
"Namun itu adalah perspektif dalam kalangan ahli-ahli politik UMNO tetapi bukan pengundi-pengundi Melayu. Fahaman 60 tahun lebih ini tidak mudah untuk dilupai selain sentiasa dalam ingatan.
"Jadi tahap penerimaan kerjasama antara UMNO dengan DAP mungkin berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik elit tetapi bukan di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca