SHAH ALAM - Seorang pemimpin UMNO digantung keahlian parti menyuarakan kebimbangan dokumen aku janji bagi mengikat calon-calon Barisan Nasional (BN) yang ditandatangani mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bakal diketepikan dan tidak diambil serius BN Pusat sekiranya ia tidak memenuhi nafsu 'kelompok' tertentu.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, pendedahan dokumen aku janji mengikat calon-calon PRU15 dengan menetapkan cagaran RM100 juta oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, hakikatnya dilihat sebagai 'tindakan tidak serupa bikin' apabila BN Pusat tidak konsisten dalam mengambil tindakan sewaktu krisis politik Sabah tercetus pasca PRU15.
Ujarnya, apabila Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor awal tahun ini, BN Pusat dilihat gagal mengenakan tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa ahli Parlimen UMNO Sabah yang secara jelas mengenepikan parti dengan kekal menyokong Hajiji.
"Ia jelas berlaku ketidakpatuhan wakil rakyat UMNO Sabah terhadap arahan peringkat negeri, namun UMNO tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menguatkuasakan terma aku janji mengikat calon BN bagi membolehkan parti menyaman mereka RM100 juta," katanya kepada Sinar Premium.
Justeru, Maulizan merasakan UMNO dan BN harus sedar kepimpinannya hari ini tidaklah berpegang teguh kepada dokumen aku janji itu, bahkan ia diketepikan dengan tindakan parti dilihat tidak konsisten.
"Seolah-olah undang undang dan peraturan yang dicipta parti hanya ikut kepentingan 'kelompok' tertentu sahaja," kata bekas Exco Kerajaan Johor itu yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun pada Januari lalu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian yang mengatakan setiap calon BN termasuk UMNO telah diminta menandatangani dokumen aku janji yang disediakan peguam-peguam BN mengikut lunas perundangan bagi mengikat mereka sebelum menerima surat watikah pelantikan calon PRU15.
Bahkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, kesemua calon pilihan raya yang bersetuju menerima watikah tersebut secara sedar dan rela hati sedia disaman sebanyak RM100 juta sekiranya melanggar inti pati perjanjian.
Pendedahan Ahmad itu adalah kesinambungan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon ditandatangani pada tahun 2018.
Mengulas lanjut, Maulizan turut menolak dakwaan Ahmad kononnya kewujudan dokumen aku janji mengikat calon BN itu memainkan peranan besar menggagalkan usaha 10 ahli Parlimen BN menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, beliau mendakwa tujuan 10 ahli Parlimen BN berkenaan menandatangani SD menyokong Muhyiddin adalah bertujuan menghalang sebarang tindakan pihak tertentu menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa restu BN dan MKT UMNO ketika itu.
"Saya difahamkan ada bukti kukuh sepucuk surat dihantar individu tertentu bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa pengetahuan MKT UMNO dan BN pada saat Parlimen masih lagi tergantung.
"Atas sebab itu, tindakan SD menyokong Muhyiddin dibuat bagi menghalang tindakan menyokong Anwar menjadi PM tanpa mendapat restu BN dan MKT UMNO ketika itu.
"Apabila BN membuat keputusan untuk berkecuali sebelum Yang di-Pertuan Agong menyarankan sebuah kerajaan perpaduan terbentuk, maka SD ditarik balik mengikut keputusan parti dan diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri," ujarnya.
Maulizan turut menyuarakan rasa terkejut apabila pucuk kepimpinan UMNO masih menjadikan isu tandatangan SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebagai alasan untuk menggantung dan memecat sebilangan pemimpin utama parti berkenaan, walaupun pada mulanya ia dianggap selesai selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan.
"Saya hairan daripada 10 ahli Parlimen terlibat tandatangan SD, mengapa hanya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Ahli Parlimen Sembrong) sahaja yang digantung?
"Meskipun pucuk kepimpinan parti enggan mengakuinya, saya percaya tindakan itu dibuat berikutan terdapat ura-ura Hishammuddin mahu bertanding jawatan Presiden UMNO bagi mencabar Ahmad Zahid, begitu juga dengan KJ (Khairy Jamaluddin)," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca