PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy seorang bekas pelawak mungkin antara pemimpin dunia paling popular buat masa ini.
Walaupun negaranya teruk diserang Rusia, kelihatannya Zelenskyy tetap bertahan melindungi rakyatnya.
Sebelum menjadi presiden sebenar, beliau juga pernah melakonkan watak sebagai presiden olok-olok dalam siri televisyen.
Hanya muncul dalam dunia politik sekitar tahun 2019 apabila bertanding sebagai calon presiden.
Kemenangannya mengalahkan tokoh besar, bekas Presiden Petro Poroshenko adalah tak dijangka.
Tetapi nasibnya tidak begitu baik, kerana pada Februari tahun lalu, negaranya diserang Rusia yang dipimpin Vladimir Putin. Putin pula ialah bekas pemimpin perisikan yang tahu banyak strategi.
Kini, setelah lebih setahun berperang, kelihatannya Zelenskyy tak dilihat seperti seorang pelawak. Beliau dilihat sebagai negarawan sejati.
Tidak hanya mampu memujuk banyak negara Barat membekalnya dengan senjata, beliau juga mampu memujuk rakyatnya bersatu. Dalam dunia ini, banyak lagi pelawak yang bertukar menjadi ahli politik. Ada yang berjaya, dan ada yang gagal.
Jimmy Morales, asalnya juga seorang pelawak, berjaya menjadi Presiden Guatemala pada penggal 2016-2020. Beliau jatuh kerana beberapa skandal rasuah. Di negara kita, belum lagi ada pelawak yang masuk pilihan raya.
Yang mungkin ada ialah tokoh yang pandai berjenaka ketika mengeluarkan kenyataan. Sesekali lawaknya mengena, sesekali kita melihat ahli politik menjadi bahan jenaka.
Sebenarnya jenaka memang diperlukan untuk menjadi pemimpin yang baik. Malah, beberapa kajian menunjukkan kebolehan berjenaka antara sifat yang perlu ada untuk menenangkan keadaan, khususnya ketika dalam krisis.
Tetapi itu pun tak semua lawak dianggap bersesuaian juga. Ketika kempen Presiden Filipina pada 2016, Rodrigo Duterte telah membuat lawak yang dianggap keterlaluan.
Antara yang disebut ialah ketika beliau mencium seorang penyokong wanita, "ciuman ini memberikan saya kebahagiaan”.
Di negara kita, Mohamad Sabu ialah antara ahli politik yang dikenali kerana kehebatannya berjenaka. Termasuklah kritikan tegasnya terhadap banyak pemimpin politik BN ketika masih menjadi pemimpin pembangkang.
Cuma kini, setelah membentuk kerajaan bersama BN, parti yang menjadi bahan jenakanya satu waktu dulu, tidaklah diketahui jika lawaknya masih lagi mampu menghiburkan pendengar. Pidatonya yang terdahulu kini menjadi bahan lawak yang lain pula.
Terbaharu, lawak Perdana Menteri ke-10 kita dengan sekumpulan pelajar wanita mungkin biasa sahaja jika diucapkan orang biasa. Tetapi kerana statusnya, lawak tadi dianggap seksis yang tak sesuai pada tempatnya.
Tapi, yang kita bimbangkan bukanlah jenaka ahli politik itu sangat. Kita lebih bimbang apabila aksi ahli politik menjadi bahan jenaka.
Sesekali misalnya kedengaran kenyataan oleh ahli politik kita, yang mungkin asalnya serius, tapi terlihat lawak oleh pendengar.
Misalnya jangan makan ayam jika harganya mahal. Atau, masak sendiri dan jangan makan di kedai jika ingin berjimat. Logiknya ada jika mengikut hukum pasaran ekonomi.
Tapi, realitinya ia tetap akan dilihat jenaka yang menyakitkan.Ada pula ahli politik yang tak henti-henti bercakap tentang membasmi rasuah. Setelah menang, yang dilantik untuk jawatan itu dan ini pula ialah watak yang selalu diserangnya dulu juga. Kini ia banyak menjadi bahan jenaka dalam politik kita.
Sebenarnya kita semua tak kisahkan sesiapa pun yang ingin menjadi ahli politik. Yang kita tak mahu hanyalah apabila ada ahli politik bertukar menjadi pelawak. Ia sedikit mengerikan, dan tak melucukan.
Kita mahu pemimpin politik kita seperti Volodymyr Zelenskyy yang mengotakan janjinya mempertahan negara.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca