MAKKAH - Perjalanan mengerjakan Rukun Islam Kelima bermula yang disifatkan sebagai musim haji terbesar dalam sejarah.
"Tahun 2023 menyaksikan penyertaan jemaah paling ramai pernah direkodkan,” kata jurucakap Kementerian Haji dan Umrah.
Lebih 2.5 juta jemaah menyahut panggilan Baitullah pada tahun ini selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan pandemik Covid-19 yang dilaksanakan pada 2020.
Ketika itu, hanya 10,000 jemaah dibenarkan untuk mengerjakan haji dan angka itu dinaikkan kepada kira-kira 59,000 orang pada 2021.
Pada tahun lalu, hampir sejuta jemaah menjadi tetamu ALLAH SWT selepas Riyadh mula melonggarkan peraturan ketat Covid-19 berikutan kes jangkitan mula menunjukkan penurunan di seluruh dunia.
"Ia adalah hari paling bermakna dalam hidup saya,” kata jemaah dari Mesir, Abdelazim, 65, yang menabung selama 20 tahun untuk membayar kos haji berjumlah AS$6,000 (RM28,116).
Bermula petang Ahad (waktu tempatan), kumpulan jemaah akan memulakan perjalanan ke Mina yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Masjidil Haram di Makkah sebelum berkumpul di Arafah untuk melaksanakan ibadah kemuncak haji pada Selasa.
Petugas di Mina juga telah membuat persiapan akhir termasuk menyediakan kawalan keselamatan untuk memastikan keselesaan para jemaah.
Tahun ini dianggap sebagai musim haji paling mencabar berikutan suhu mencecah hampir 45 darjah Celsius.
Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih 32,000 kakitangan kesihatan dan ribuan ambulans disediakan jika berlaku kes strok haba, dehidrasi dan keletihan melampau akibat cuaca panas terik.
Musim haji pada kali ini agak istimewa kerana jemaah dari negara dilanda konflik turut menerima seruan haji.
Pada minggu lalu, empat kumpulan dari Genting Gaza dan barat laut Syria tiba di Jeddah malah Yemen juga menghantar kumpulan jemaah mereka menerusi penerbangan pertama secara terus ke Saudi sejak krisis tercetus pada 2016. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca