PADA 75 tahun yang lalu pada bulan Jun 1948 satu peristiwa penting telah berlaku di Malaya, apabila Perdana Menteri British ketika itu, Clement Attlee telah mengisytiharkan perang terhadap Parti Komunis Malaya (PKM).
Perisytiharan perang ini walau bagaimanapun diolah sebegitu rupa agar tidak mahu mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi Britain dan firma-firma gergasi dunia yang beroperasi di Malaya ketika itu seperti Sime Darby, Guthrie, Dunlop dan pelbagai lagi.
Firma-firma ini telah mendesak Attlee agar tidak menggunakan perkataan ‘perang’ kerana jika berbuat demikian, adalah mustahil untuk mereka mendapatkan perlindungan insurans sekiranya berlaku sesuatu kepada ladang, lombong atau produk yang mereka hasilkan dari Malaya.
Akhirnya perkataan yang diguna pakai adalah ‘emergency’ atau darurat dalam bahasa Melayu.
Demografi atau taburan penduduk juga memainkan peranan menjelang berlakunya pemberontakan komunis. Sejak dari tahun 1930-an lagi, berlaku ketidakimbangan jumlah penduduk di Malaya akibat daripada pembawaan masuk buruh migran dari China dan India.
Hampir keseluruhan bekerja di industri perlombongan, ladang-ladang getah serta pembinaan jalan raya dan kereta api.Menjelang tahun 1931, jumlah migran yang berada di Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah 63.7 peratus berbanding berbangsa Melayu, iaitu kira-kira 30 peratus.
Lebih mengejutkan, hanya 10 peratus penduduk di bandar-bandar utama Malaya ketika itu adalah terdiri dari orang-orang Melayu.
Perkara-perkara yang berlaku sebelum, ketika dan selepas darurat pertama sememangnya adalah fakta yang tidak boleh dipisahkan dari sejarah silam pembentukan negara sebagai sebuah negara berdaulat.
Selepas merdeka dan menerjah alaf baharu, negara ini terus mengecapi kemakmuran dan pembangunan yang bukan sedikit.
Demografi negara telah berubah. Pada tahun 2022, penduduk Melayu serta bumiputera dianggarkan 21 juta berbanding 8.9 juta berbangsa Cina dan India.
Berbeza dengan era 1930-an dan sepanjang darurat pertama, 8.9 juta yang suatu masa dahulu pernah dianggap bangsa pendatang telah lahir dan mendakap Malaysia sebagai negara ibunda mereka.
Satu pengajaran yang mungkin jarang mahu diperkatakan berkaitan darurat pertama ialah bagaimana penduduk Melayu pada ketika itu berada dalam satu era perpaduan yang amat jitu.
Walaupun terdapat pergerakan politik dalam kalangan orang Melayu yang mahu merebut kemerdekaan daripada tangan British, ia jelas sekali tidak menggoyangkan ketaatan mereka kepada agama, bangsa dan institusi beraja.
Ini menyebabkan walau berjumlah minoriti dalam negara sendiri di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, pengaruh idealisme barat mahupun komunis tidak pernah dapat bertapak mahupun mengukuh secara meluas dalam kalangan penduduk Melayu, melainkan segelintir sahaja.
Peliknya hari ini, dengan jumlah bangsa yang kembali menjadi majoriti besar dalam negaranya sendiri, laungan-laungan yang menyatakan bahawa ‘bangsa asing’ bakal mengambil alih negara ini kedengaran lebih lantang berbanding ketika era darurat pertama.
Lebih mengejutkan, mereka yang bersuara lantang bukan lagi daripada parti PKM tetapi anak jati negara bangsa sendiri yang mendabik dada menyatakan bahawa merekalah yang lebih Melayu dan Islam. Malah dalam kalangan mereka ada yang sudah berani mencabar nasihat institusi beraja.
Ikatan yang terbukti ini tidak dapat digugat oleh beratus tahun penjajahan Portugis, Belanda dan British mahupun kebangkitan PKM sepanjang darurat pertama, malah ketika darurat kedua.
Malangnya percakaran politik dalaman bangsa Melayu hari ini mungkin menjadi pencetus robohnya benteng negara bangsa yang sekian lama begitu utuh.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca