SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan saman terhadap semua ‘pembelot’ lain yang telah melompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan saman terhadap semua ‘pembelot’ lain yang telah melompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengarah Komunikasinya, Lee Chean Chung berpandangan, saman RM10 juta itu adalah nilai perlu dibayar akibat memungkiri janji dan mandat diberikan parti kepada calon.

"Saya mengesyorkan parti untuk melakukan tuntutan ini bukan hanya terhad kepada bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin sahaja tetapi semua pembelot parti.

"Saya menyokong penghakiman mahkamah yang menegaskan bahawa RM10 juta itu tidak keterlaluan tetapi munasabah untuk mencegah ahli terutamanya calon dipilih daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti pada masa pilihan raya,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi memerintahkan Zuraida membayar denda RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar syarat menjadi calon pilihan raya PKR pada PRU14.

Berdasarkan saman difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020, PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Jumlah tersebut adalah nilai pampasan perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.

Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, kes Zuraida merupakan satu kemenangan bukan sahaja kepada PKR tetapi seluruh masyarakat yang berharap agar wakil rakyat berpegang kepada janji dan pendirian serta kedudukan mereka.

"Kuasa diberi kepada wakil rakyat itu patut dilaksanakan dengan tekun dan bukan untuk diuar-uarkan kononnya tindakan lompat parti itu perkara biasa atau hak masing-masing. Implikasi daripada lompat parti itu cukup besar sehingga boleh menjatuhkan kerajaan,” tegasnya.

Tambahnya, tuntutan ini juga mendorong kepada penggubalan Akta Anti Lompat Parti yang menjadikan kerajaan lebih stabil.

"Dalam masa yang sama, ahli politik juga akan lebih bertanggungjawab terhadap manifesto mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Syed Ibrahim Syed Noh berpandangan, keputusan mahkamah itu mampu memberi isyarat bahawa tindakan melompat parti adalah perkara salah.

"Penghakiman itu menunjukkan bahawa ahli politik tidak mudah untuk melompat parti sewenang-wenangnya sedangkan mereka sudah mempunyai komitmen kepada parti serta tanggungjawab tinggi kepada rakyat.

"Berdasarkan kes Zuraida, ada kemungkinan tuntutan ini bakal dikenakan kepada ahli politik lain yang melompat parti. Namun, terserah kepada pihak mahkamah dan keputusan parti sama ada mereka ingin meneruskan perkara ini atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, budaya mengikat calon untuk membayar sejumlah wang sebagai cagaran untuk tidak melompat parti sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada calon dan parti itu sendiri.

"Terdapat kemungkinan untuk PKR menyambung tradisi itu tetapi sama ada ia akan diteruskan atau tidak bergantung kepada pucuk pimpinan parti masing-masing,” jelasnya.

Selain itu katanya, enakmen Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan di beberapa negeri itu dapat menjadi kad selamat bagi mencegah wakil rakyat memasang niat untuk menukar hala.

"Dengan enakmen Akta Anti Lompat Parti serta keputusan mahkamah terhadap kes Zuraida, ia dapat menjanjikan kestabilan kepada kerajaan Pusat mahupun dalam parti,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca