"AKHIRNYA ringgit naik juga, bro.”Kata-kata itu memeranjatkan saya. Saya tenung mukanya.
"Minggu lepas RM4.63...minggu ni RM4.67, naiklah namanya tu,” dia ketawa sinis. Mukanya betul-betul macam minta ditumbuk.
Dia kawan saya. Orang biasa-biasa. Orang kampung yang gajinya bergantung pada kerja sebagai tukang rumah. Ada kerja ada gaji, tapi katanya, seumur hidup dia belum pernah merasa ada gaji walaupun tak ada kerja 'macam orang-orang yang bekerja di pejabat tu.
'Saya telah lama mengenalinya. Belasan tahun. Seingat saya dulu-dulu kalau kami berjumpa tajuk yang suka dibualkannya adalah tentang zaman rock kapak, makanan tradisional, hal-hal pertanian dan sesekali tentang anak dara orang. Tidak pernah dia bercakap hal politik, apatah lagi ekonomi.
Tetapi semenjak dua menjak ini dia yang dulu bukanlah dia yang sekarang. Dia sangat berbeza. Cakapnya sudah saling tak tumpah macam Kaynes, Friedman, Adam Smith. Siapa mereka? Cari sendiri ya...sekarang bukan zaman maklumat di kedai kopi, tetapi di hujung jari. Sesiapa pun boleh mencarinya.
Ya, dia berubah betul. Cakapnya sentiasa berlegar tentang hal ekonomi. Saya masih ingat, dua minggu lepas apabila saya mengajaknya makan nasi ayam, hampir setengah jam dia berkisah tentang harga ayam, harga beras, margin keuntungan peniaga makanan, kuasa membeli selepas setiap lima belas hari bulan dan seterusnya meleret kepada harga minyak.
Tiga hari lepas seorang mak cik, tempat saya selalu membeli kuih di Bangi, memberitahu saya tentang perbezaan yang ketara antara harga sayur-sayuran di Thailand dengan harga di pasar-pasar di negara kita.
Saya tidak tertarik tentang perbezaan harga itu. Tetapi saya terpegun apabila dia bercerita tentang masalah penanam-penanam sayur, produktiviti, kos baja, racun dan sebagainya.
"Mak cik ada tanam sayur jugakah?” saya memberanikan diri untuk bertanya.
"Saya tinggal di flat, Datuk,” jawapan itu membuatkan saya dengan sendirinya faham. Dan hakikat bahawa dia sendiri tidak menanam sayur itu menambahkan rasa kagum saya terhadap kebolehannya bercakap mengenai tanaman tersebut.
Tetapi kawan saya dan mak cik itu hanyalah sebahagian daripada sekian banyak kalangan yang saya kenali yang sekarang ini telah bertukar watak, sama ada menjadi ahli ekonomi atau penganalisis kewangan atau kedua-duanya sekali.
Apakah yang membawa mereka ke situ dan menjadikan mereka begitu? Jawapannya adalah poket dan perut.
Saya adalah antara orang yang telah mencuba sedaya upaya untuk mempercayai bahawa keadaan ekonomi negara kita bertambah baik dengan kadar inflasi juga semakin menurun.
Saya cuba menerima tanpa prejudis apa sahaja angka-angka menarik yang positif yang dipaparkan di media. Tetapi saya terpaksa tunduk pada suara-suara di persekitaran. Suara marhaen yang tidak putus-putus berkeluh-kesah.
Saya suka bertanya dan berbual dengan mereka. Saya percaya kesudian mendengar adalah sebahagian daripada penawar. Berikan peluang kepada mereka mengadu, berikan peluang kepada mereka bercerita, kemudian bertanyalah apa sebetulnya yang mereka mahu?
Mereka tidak faham tentang faktor-faktor yang mempengaruhi naik turun ringgit. Mereka tidak kisah berapa banyak pelaburan masuk. Indeks bursa bagi mereka adalah tentang hijau, kuning dan merah. Tidak lebih daripada itu.
Yang mereka peduli adalah harga ikan di pasar, harga barangan keperluan di kedai, harga makanan dan minuman di gerai, wang saku anak yang jumlahnya sama dengan tahun lepas tetapi kuasa membelinya lebih kecil pada tahun ini, ansuran kereta motor yang bertambah beberapa ringgit berikutan kenaikan OPR, bil elektrik yang semakin meningkat berikutan perubahan cuaca yang menyebabkan penggunaan kipas bertukar daripada keperluan menjadi kemestian, dan segala sesuatu seumpamanya.
Suara-suara itu ada di mana-mana. Melata sepanjang masa. Kian hari hingarnya kian terasa. Tetapi saya tahu suara itu mungkin tidak sampai ke kayangan.
Ia tidak akan dapat didengari di kafe-kafe berhawa dingin yang harga secawan kopinya sama dengan lima kilogram beras.
Kalau sampai pun siapakah yang sudi mendengar kerana mereka bukan apa-apa, dan bukan siapa-siapa kecuali pada musim pilihan raya. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca