SHAH ALAM – Biarpun sudah lapan tahun berlalu, pasti ramai teringat akan tragedi berdarah yang meragut 108 nyawa serta 238 cedera akibat terkena runtuhan konkrit selepas kren seberat 1,350 tan itu tumbang di Masjidil Haram.
Antara rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi malang itu adalah Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan; Rohana Ismail, 54, Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 73, Cherang Ruku, Kelantan; Rusiah Suar, 56, Sungkai, Perak; Abdul Habib Lahman, 68, Sik, Kedah; dan Shahidan Saad, 52, Kodiang, Kedah.
Mengimbau kembali pengalaman pahit tersebut, Jamil Osman, 60, bekas pegawai pejabat kesihatan yang berada di tempat kejadian berkongsi, dia mendengar letupan yang sangat kuat di Masjidil Haram sebelum keadaan berubah menjadi panik.
"Pada hari kejadian, saya berjalan ke Masjidil Haram usai menunaikan solat Asar. Hari itu merupakan Jumaat yang tenang sebelum berlakunya ribut petir. Dengan hujan lebat menjelang Maghrib, saya mengambil keputusan untuk duduk di aras satu di dalam masjid.
"Tiba-tiba, saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat. Saya cuba melihat apa yang berlaku di dataran tingkat bawah tetapi dihalang oleh polis dan orang ramai,” katanya kepada Sinar Premium.
Jamil berkongsi, sejurus selepas bunyi dentuman itu, keadaan menjadi sangat kelam kabut dan dia melihat orang ramai menjerit, merintih serta berlari bertempiaran di kawasan tersebut.
"Bunyi meletup itu terjadi sebanyak dua kali. Kali pertama, situasi masih terkawal namun selepas beberapa saat ia jatuh semula, semua orang bangun dengan keadaan yang panik.
"Saya melihat mangsa-mangsa cedera diusung polis dengan keadaan yang berdarah. Hati saya kuat mengatakan bahawa pasti ada kemalangan yang lebih teruk berlaku di tempat kejadian namun ia tidak dapat disahkan sehingga lepas Isyak,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang perasaannya menjadi saksi kejadian, Jamil berkata, ia meninggalkan kesan trauma dan merupakan sebuah pengalaman yang sangat pahit untuk ditelan.
"Sejujurnya, saya cuma ingat mati. Bayangkan, saya hanya dipisahkan oleh aras yang berbeza ketika waktu kejadian. Seandainya saya berada di bawah, tidak mustahil nasib sama akan menimpa diri ini.
"Saya agak trauma dengan kejadian itu. Saya tidak pergi ke masjid kerana masih terngiang-ngiang dengan peristiwa kren tumbang di Tanah Suci. Selepas seminggu, barulah kekuatan diri ini muncul untuk pergi semula ke masjid demi menyambung ibadah haji,” ujarnya.
Mengulas tentang kerajaan Arab Saudi yang berpendirian meneruskan ibadah haji kerana ia merupakan tuntutan syarie utama serta ibadat penting dalam Islam, Jamil berkata, ibadah tersebut tetap berjalan seperti biasa biarpun selepas insiden itu berlaku.
"Ketika tragedi itu berlaku, kami belum menghabiskan haji dengan sempurna dan ia berlangsung seperti biasa selepas kejadian itu.
"Saya juga menunggu cuaca baik sebelum memutuskan untuk pergi semula ke masjid. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar. Dalam masa yang sama, saya tawakal kepada ALLAH sekiranya mati di Tanah Suci,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca