KETUA pasukan askar upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin membatalkan pemberontakan bersenjata pada minggu lalu, sekali gus meredakan krisis politik terbesar melanda Rusia dalam tempoh beberapa dekad. Presiden Rusia, Vladimir Putin yang tetap 'tenang' selepas berdepan ancaman itu menuduh Ukraine dan sekutu Barat mahu melihat mereka saling berbunuhan antara satu sama lain jika pemberontakan itu berlaku. Tetapi, adakah 'sengketa' itu benar-benar sudah tamat seperti diuar-uarkan kepada umum? Masih banyak persoalan yang belum terjawab.
----------------------
1. Apa akan berlaku kepada Prigozhin?
Lokasi keberadaannya tidak diketahui. Kali terakhir beliau dilihat menaiki SUV meninggalkan bandar Rostov-on-Don pada lewat Sabtu lalu selepas anggota pasukan militia pimpinannya menguasai ibu pejabat tentera di bandar tersebut.
Kremlin memaklumkan Prigozhin dibenarkan hidup dalam buangan di Belarus dan tidak akan didakwa.
Tetapi, pakar berpendapat masih tidak jelas misi asal beliau akan berakhir setelah Kremlin mengumumkan Wagner akan terus beroperasi di Mali dan Republik Afrika Tengah.
Setelah dua hari hilang tanpa khabar berita, Prigozhin akhirnya tampil bersuara menerusia mesej audio berdurasi selama 11 minit di Telegram untuk menjelaskan sebab utama yang mencetuskan pemberontakan tersebut dan sudah menghampiri Moscow pada jarak kira-kira 200 kilometer.
Beliau tidak mendedahkan lokasinya, namun dipercayai sudah berpindah ke Minsk setelah Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berjaya 'memujuknya' untuk membatalkan misi menggempur ibu kota Rusia.
Prigozhin mendakwa matlamat utamanya adalah untuk menghalang pembubaran Wagner dan ketidakadilan terhadap mereka.
Beliau yang mendapat julukan cef Putin itu sekali lagi menegaskan mereka tidak pernah berhasrat mahu menggulingkan pemerintah.
2. Bagaimana nasib Wagner?
Prigozhin berang selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan anggotanya supaya menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, Moscow mahu membubarkan Syarikat Tentera Persendirian (PMC) Wagner dan ia telah mengundang kemarahan beliau hingga merancang untuk menggulingkan kepimpinan tentera.
Kremlin memberitahu anggota Wagner yang tidak terlibat dengan pemberontakan itu masih boleh menandatangani kontrak manakala askar yang berpaling tadah tidak akan menghadapi tuduhan jenayah atas kejayaan mereka di medan pertempuran di timur Ukraine.
Perkhidmatan Keselamatan Rusia atau FSB pada Selasa memaklumkan ia menggugurkan kes ke atas anggota militia Wagner yang didakwa melakukan pemberontakan bersenjata untuk menggulingkan kepimpinan tentera di Moscow.
"Keputusan ini mengambil kira banyak hal. Oleh itu, kami putuskan kes ini ditutup," ujar FSB dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan mengumumkan persiapan sedang dilakukan untuk memindahkan jentera berat daripada Wagner kepada Angkatan Tentera Rusia.
3. Apa tindakan ke atas komander tentera Rusia?
Butiran perjanjian dicapai antara Kremlin dengan Prigozhin masih tidak jelas. Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dijangka mengekalkan jawatannya buat masa ini.
"Di bawah tekanan akibat ancaman pemberontakan itu, Putin boleh melakukan apa sahaja," kata pemerhati politik pro-Kremlin, Sergei Markov.
Sementara itu, Rob Lee di Institut Penyelidikan Dasar Luar berpusat di Amerika Syarikat (AS), Rob Lee berkata, pemberontakan singkat itu jelas memaparkan kelemahan Shoigu dan Ketua Turus Am, Valery Gerasimov.
"Ia juga menunjukkan betapa penting Putin mempunyai tokoh yang setia dalam perkhidmatan keselamatan dan tentera Rusia terutamanya selepas Wagner berpotensi menjadi ancaman kepadanya," katanya menerusi Twitter.
4. Adakah Prigozhin 'disokong' pihak lain?
Tindakan Wagner merampas ibu pejabat utama tentera di selatan Rusia dan kemaraan mereka ke Moscow tanpa mendapat 'halangan' daripada mana-mana pihak telah mencetuskan siri persoalan.
Beberapa penganalisis percaya Prigozhin tidak akan melancarkan misi 'bunuh diri' itu bersendirian dan ada yang berpendapat tindakan terdesak itu sebagai usaha untuk meraih jaminan keselamatan.
Peranan Timbalan Ketua Pertama Perkhidmatan Risikan Tentera atau GRU, Vladimir Alekseyev juga menimbulkan tanda tanya kerana agensi itu dikatakan telah bekerjasama rapat dengan Wagner selama bertahun-tahun.
5. Apakah kesan kepada operasi ketenteraan di Ukraine?
Kremlin berikrar pemberontakan itu tidak akan memberi impak kepada kempen ketenteraan ke atas Ukraine walaupun Kiev cuba mengambil kesempatan terhadap krisis tersebut.
Selepas berjaya merampas bandar Bakhmut, tentera Rusia dikatakan kurang bergantung kepada Wagner walaupun banyak pihak mendakwa pasukan askar upahan itu memainkan peranan penting di barisan pertahanan.
Putin turut menegaskan Moscow tidak akan mengerahkan mana-mana pasukan dari Ukraine untuk menentang askar Wagner.
"Kami tidak akan memanggil pulang unit tempur dari zon operasi khas semata-mata kerana krisis tersebut," ujarnya sambil menambah pasukan barisan hadapan akan kekal berada di kedudukan mereka di Kiev. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca