SHAH ALAM - "Hang balik dulu, aku tak balik dah.” Itu merupakan kata-kata terakhir salah seorang jemaah haji yang menolak pelawaan sahabatnya untuk pulang ke hotel sebelum dihempap kren runtuh di Masjidil Haram pada tahun 2015. Biarpun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Hang balik dulu, aku tak balik dah.” Itu merupakan kata-kata terakhir salah seorang jemaah haji yang menolak pelawaan sahabatnya untuk pulang ke hotel sebelum dihempap kren runtuh di Masjidil Haram pada tahun 2015.

Biarpun sudah lapan tahun berlalu, peristiwa mengorbankan 108 nyawa dan 238 cedera pada masa itu masih segar di ingatan, Zainal Ramli, 62, yang berada di tempat kejadian.

Lebih menyedihkan, salah seorang sahabatnya iaitu Abdul Habib Lahman, 68, yang merupakan rakan sekampung dari Kedah turut terkorban di dalam tragedi yang menyayat hati itu.

Bercerita tentang hari kejadian yang berlaku pada petang Jumaat, Zainal dan isterinya ketika itu ingin balik ke hotel untuk menjamu selera dan mengajak Abdul Habib pulang bersama.

Zainal Ramli (belakang) bersama isterinya, Rohana Md Zain (hadapan) di Tanah Suci, Mekah pada tahun 2015.
Zainal Ramli (belakang) bersama isterinya, Rohana Md Zain (hadapan) di Tanah Suci, Mekah pada tahun 2015.
Zainal Ramli (belakang) bersama isterinya, Rohana Md Zain (hadapan) di Tanah Suci, Mekah pada tahun 2015.
Zainal Ramli (belakang) bersama isterinya, Rohana Md Zain (hadapan) di Tanah Suci, Mekah pada tahun 2015.

Namun Abdul Habib enggan pulang dan berkeras untuk duduk di Masjidil Haram bersama seorang lagi rakan rombongan dari Kokdiang, Shahidan Saad, 52, yang juga merupakan salah seorang mangsa korban dalam runtuhan tersebut.

"Kami sudah memujuk Abdul Habib untuk pulang ke hotel dan kembali semula ke Masjidil Haram sekitar waktu Asar. Namun, dia masih melilau di sekitar kawasan itu dan menyuruh kami untuk pergi dahulu.

"Oleh kerana Abdul Habib ditemani salah seorang rakan dari rombongan yang sama, kami meninggalkan dia di tempat kejadian. Siapa sangka, itu kali terakhir kami dapat berjumpa dengan arwah,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada petang yang sama, Zainal dan isteri mahu bergerak kembali ke Masjidil Haram dan mencari sahabat baiknya itu. Namun, pihak hotel menghalang semua jemaah untuk keluar dari tempat penginapan akibat cuaca yang buruk.

"Cuaca ketika itu sangat teruk dengan ribut pasir dan hujan lebat yang melanda Makkah pada jam kira-kira 5 petang waktu tempatan.

"Justeru, kami terpaksa duduk di hotel sekali gus terputus hubungan bersama mereka di luar. Dalam masa yang sama, Abdul Habib dan rakannya masih berada di Masjidil Haram ketika peristiwa itu berlaku.

Tambahnya, disebabkan mereka terkurung di dalam hotel, Zainal tidak tahu berlakunya keadaan yang sangat kecoh di luar akibat insiden kren runtuh di negara timur tengah itu.

"Menjelang waktu Maghrib, pihak di Malaysia terlebih dahulu tahu mengenai tragedi kren tumbang itu berbanding kami di sini. Saya amat terkejut sehingga tidak dapat berkata-kata.

"Kami dimaklumkan kemudian bahawa beberapa jemaah haji Malaysia meninggal di tempat kejadian manakala ramai yang cedera dihempap kren,” katanya.

BANTU PENGECAMAN MAYAT

Biarpun masih dalam keadaan terkejut, Zainal merupakan salah seorang jemaah yang diminta untuk mengecam mayat Abdul Habib yang masih hilang ketika itu.

"Saya terkejut kerana diberitahu pada awalnya bahawa Abdul Habib hilang dan kami tidak menyangka bahawa dia sudah meninggal dunia. Saya dibawa untuk proses pengecaman mayat yang terletak kira-kira 800 meter dari hotel.

"Situasi ketika itu agak tegang, saya diarahkan pergi ke sebuah bilik panjang dan cuba untuk mengecam mayat dengan hanya menggunakan gambar bersaiz A4 yang dilekatkan di dinding.

"Terdapat 115 mangsa yang perlu disahkan mayatnya dan waris diminta untuk mengecam mayat berdasarkan parut, tahi lalat atau sebarang tanda di muka, kaki dan badan mangsa,” ujarnya.

Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.
Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.
Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.
Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.
Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.
Zainal Ramli (kiri) pergi ke rombongan menunaikan Haji bersama isterinya, Rohana Md Zain (kanan) pada tahun 2015.

Jelas Zainal, dia berasa sedikit kecewa apabila tidak menjumpai rakannya di sebalik ratusan mangsa yang lain biarpun sudah mencari ciri-ciri yang disebutkan oleh keluarga Abdul Habib.

"Saya sudah menelefon keluarga mangsa di Malaysia. Namun, hampa apabila masih tidak dapat mengecam mayat mangsa di semua gambar. Rupa-rupanya, jasad Abdul Habib hilang dan belum lagi dijumpai oleh mereka.

"Saya pulang semula ke hotel dan akhirnya mereka menemui mayatnya, 10 hari kemudian di bawah timbunan batu. Pihak Tabung Haji kali ini menghubungi anak mangsa untuk mengecam mayat dan akhirnya mayat itu sah milik Abdul Habib,” ujarnya.

ARWAH SEORANG YANG PENDIAM

Mengimbau kembali kenangan bermulanya ikatan persahabatan dengan arwah, Zainal berkata, mereka mula rapat selepas Kursus Asas Haji bersama rombongan jemaah lain di Kedah.

"Kami duduk di daerah berdekatan yang mana dia menetap di Batu Besar manakala saya di Sik, Kedah. Oleh kerana bertolak ke Tanah Suci dan duduk di hotel yang sama, kami berdua sangat rapat dan pergi ke mana sahaja berdua.

"Lagi pula, dia menunaikan haji seorang diri manakala saya ditemani isteri. Abdul Habib merupakan seorang yang pendiam namun menyenangkan. Biarpun persahabatan kami singkat, ia kenangan yang tidak boleh saya lupakan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca