MENJELANG detik pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, tumpuan pasti terarah kepada dua watak utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Namun dalam keterujaan perdebatan parti mana bakal mendominasi pentas PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor itu nanti, muncul pula watak ketiga iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar memutuskan Muda bergerak secara solo dan bertanding atas kapasiti kekuatan parti itu sendiri dalam PRN nanti.
Terdahulu, Muda membuat permohonan untuk bekerjasama dengan PH seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun permintaan itu tidak dilayan dan akhirnya dihampakan koalisi politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyertaan ‘berani mati’ Muda dilihat bukan sekadar opsyen kepada pengundi PRN tetapi juga mampu menjadi ‘duri dalam daging’ untuk PH susulan parti itu bersama dengan koalisi itu membentuk Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan penyertaan Muda pada PRN enam negeri kelak boleh bertindak selaku blok ketiga yang bakal mengimbangi persaingan dua watak utama BN-PH dan PN serta mampu memberi opsyen tambahan kepada pengundi.
Namun benarkah Muda calon sesuai untuk melakukannya? Jika bersandarkan rekod prestasi PRU15 lalu, parti itu sememangnya belum mampu mempamerkan prestasi terbaik apatah lagi menyaingi PH dan PN yang dibarisi nama besar dunia politik.
Sejarah politik tanah air membuktikan cubaan figura politik legenda seperti Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kuasa politik ketiga menerusi Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU15 gagal, walaupun beliau antara pemimpin Melayu paling berpengaruh di Malaysia.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keberadaan Muda dalam PRN enam negeri ini bukan sebagai blok ketiga sebaliknya hanya ‘penambah perisa’ dan tidak akan membawa impak besar yang mencipta kejutan.
"Berbanding PH dan PN yang sememangnya diketahui ada akar umbi dan sayap parti kuat, Muda ketinggalan jauh dan tidak mustahil akan kehilangan semua deposit pertaruhan calon jika bergerak solo dalam PRN enam negeri ini,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Mohammad Tawfik berkata lagi, komitmen Muda yang mahu membawa budaya politik baharu dan menolak budaya politik tua tidak akan menjadi ‘faktor X’ menggamit perhatian pengundi PRN untuk memihak kepada mereka.
"Sasaran Muda untuk menolak budaya politik tua mungkin mengambil tempoh masa panjang untuk diterima disebabkan pendekatan politik negara yang berbeza.
"Politik negara kita tidak melihat usia lanjut sebagai penghalang, sebaliknya berasaskan politik berkepentingan yang menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
Katanya, jika ada parti-parti kecil lain berhasrat menyertai Muda membentuk blok ketiga, mereka terlebih dahulu perlu memastikan kekuatan parti itu tidak semata-mata bersandarkan nama pengasasnya iaitu Syed Saddiq sendiri.
"Tanpa kekuatan akar umbi dan pakatan politik lain, maka kemasukan parti kecil lain tidak akan membawa banyak perbezaan dan kelebihan buat Muda, bukan sahaja dalam PRN tetapi kelangsungan masa depannya,” katanya.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid turut mengakui, penampilan Muda dalam PRN enam negeri tidak cukup kuat untuk menjadi blok ketiga yang mampu menggugat PH atau PN.
"Muda tidak memiliki kekuatan diperlukan bagi menjadi blok ketiga, tambahan pula parti terbabit tidak berada dalam mana-mana permuafakatan politik.
"Semangat sahaja tidak cukup, sebaliknya Muda memerlukan dahan yang kuat untuk hidup dan tegak berdiri sebagai parti ampuh, kerana apabila berada dalam permuafakatan penaja politik membolehkan parti kecil bernaung,” ujarnya.
Jelasnya, politik bukan murah dan Muda memerlukan wang serta penaja.
"Jika orientasi Muda hanya Syed Saddiq dan Syed Saddiq itu adalah Muda, maka ia mempunyai jangka hayat yang pendek kerana tidak dikenali serta diragukan rakan-rakan atau potensi pemimpin pelapis dalam Muda itu sendiri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca