SEOUL - Ketika Jepun bersiap sedia melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke dalam laut, pelbagai pihak menyuarakan bantahan keras mengenai rancangan yang mencetuskan kontroversi di seluruh rantau ini. Ketika... Klik di sini untuk terus membaca

SEOUL - Ketika Jepun bersiap sedia melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke dalam laut, pelbagai pihak menyuarakan bantahan keras mengenai rancangan yang mencetuskan kontroversi di seluruh rantau ini.

Ketika ini, penyelia nuklear Jepun sudah memulakan pemeriksaan terakhir terhadap lebih satu juta tan metrik air radioaktif yang disimpan dalam 1,000 tangki besar di wilayah tersebut.

Air berkenaan digunakan, terutama bagi menyejukkan reaktor yang rosak di loji kuasa Fukushima di utara Tokyo, selepas ia dilanda gempa bumi dan tsunami pada 2011.

Dalam proses tersebut ia akan ditapis dan dicairkan sebelum dilepaskan melalui terowong bawah tanah yang memanjang kira-kira satu kilometer menuju ke laut.

Bagaimanapun, selepas Tokyo berusaha melakukan usaha sewajarnya untuk mengiakan tindakannya seperti mendapat kelulusan daripada pengawal selia nuklear domestik bagi memastikan air sisa memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa, tindakan tersebut masih mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun, Greenpeace menyatakan kebimbangan bahawa pelepasan air sisa tersebut dikhuatiri boleh mengubah DNA manusia manakala negara-negara Pulau Pasifik menegaskan bahawa langkah itu boleh menyumbang kepada pencemaran radioaktif di Pasifik Biru.

Isu itu turut mencetuskan pendebatan di Korea Selatan sehingga membawa kepada kempen boikot barangan kosmetik buatan Jepun di China.

Di Hong Kong, Setiausaha Alam Sekitar dan Ekologi Tse Chin-wan berkata, jika pelepasan air sisa berjalan seperti dirancang, bandar itu akan segera melarang import produk akuatik dari wilayah pantai berdekatan dengan Fukushima dan mengenakan kawalan import ketat di Jepun.

Ketika ini, masyarakat nelayan tempatan di Fukushima masih terkesan atas larangan penjualan hasil tangkapan mereka dan ramai daripada mereka menentang rancangan yang telah membawa kepada kerosakan reputasi sehingga membawa kepada kerugian terhadap perniagaan mereka.

Tetapi kerajaan Jepun berulang kali menegaskan bahawa air sisa terawat disahkan selamat dan mereka berharap mendapat lampu hijau daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang akan mengeluarkan laporan akhir mengenai keselamatan rancangan Fukushima tidak lama lagi.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pakar nuklear di Jepun berkata air sisa terawat tidak akan menimbulkan ancaman langsung.

RAKYAT KOREA BORONG GARAM

Aktivis membantah tindakan Jepun membuang air terawat dari loji nuklear Fukushima. - AFP
Aktivis membantah tindakan Jepun membuang air terawat dari loji nuklear Fukushima. - AFP
Aktivis membantah tindakan Jepun membuang air terawat dari loji nuklear Fukushima. - AFP

Dalam perkembangan lain, warga Korea Selatan melakukan pembelian panik terhadap produk garam laut dan barangan lain susulan lonjakan tahap kebimbangan mengenai keselamatan mereka apabila Jepun akan membuang lebih satu juta tan metrik air radioaktif dari loji kuasa nuklear yang dirawat ke dalam laut.

Pembelian panik itu menyumbang kepada lonjakan kira-kira 27 peratus harga garam di Korea Selatan pada Jun, berbanding dua bulan lalu, selain pegawai mendakwa cuaca dan kadar pengeluaran rendah sebagai punca kenaikan itu.

Sebagai tindak balas, kerajaan mengeluarkan kira-kira 50 tan metrik garam sehari daripada stok dengan memberikan diskaun 20 peratus daripada harga pasaran.

Dalam pada itu, pihak berkuasa perikanan Korea Selatan berkata mereka akan mengawasi ladang garam untuk sebarang peningkatan dalam aktiviti radioaktif.

China juga telah mengkritik rancangan Jepun untuk melepaskan air dengan mendakwa ia akan menimbulkan ancaman kepada persekitaran marin dan kesihatan orang di seluruh dunia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca