SHAH ALAM - Pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai langkah pemansuhan sistem subsidi menyeluruh secara berperingkat disifatkan sebagai tidak tepat pada masanya.
Malah kenyataan itu mampu menjadi ‘bola tanggung’ kepada usaha Kerajaan Perpaduan mendepani pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, walaupun kenyataan Rafizi dan Nik Nazmi bukan satu bentuk sabotaj dalaman terhadap kerajaan, namun ia dianggap satu langkah tidak populis yang mungkin mendatangkan keresahan kepada rakyat.
Hisommudin berkata, biarpun kerajaan tiada pilihan melainkan menarik balik subsidi golongan T20 bagi mengimbangi tekanan ekonomi global ketika ini, namun pengumuman berkenaan boleh mencetuskan pelbagai persepsi negatif terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN nanti.
"Tindakan kerajaan tidak mengumumkan perincian penghapusan subsidi itu akan menyebabkan kesan negatif kepada gabungan PH-BN terutama jika isu tersebut diperbesarkan dan dalam bahasa mudah oleh pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) semasa kempen PRN nanti.
"Kalau pembangkang berjaya menggunakan isu penarikan subsidi dengan baik, maka tidak mustahil mereka menarik sokongan pengundi terutama golongan B40 dan M40 untuk mengundi PN sebagai tanda protes kepada kerajaan PH-BN dalam PRN nanti,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Beliau menegaskan, jika keadaan itu berlaku, peluang PH-BN mahu mempertahankan kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga menjadi lebih sukar.
Justeru, Hisommudin berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan lanjut dan mencari kaedah lain untuk menyerap tekanan ekonomi global selain daripada pemotongan semua subsidi, sekali gus menyekat tsunami pengundi terutama golongan B40 dan M40 daripada menolak PH-BN.
Terdahulu, media melaporkan Rafizi mengumumkan cadangan kerajaan mahu memansuhkan sistem subsidi menyeluruh secara berperingkat dan menukarnya ke arah pengenalan sistem subsidi bersasar yang memerlukan pembiayaan dan dasar fiskal betul.
Nik Nazmi pula mengumumkan kerajaan akan menarik balik pemberian subsidi kepada golongan T20 menjelang akhir tahun ini selepas opsyen Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang munasabah kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 1 Disember 2023.
Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan kini sedang berusaha untuk mempercepatkan pemberian subsidi air secara bersasar kepada rakyat kerana kadar bayaran dikenakan sekarang terlalu murah, sekali gus menyebabkan banyak pembaziran berlaku.
Lebih memburukkan keadaan, Kerajaan Perpaduan ditunjangi PH-BN berdepan tindak tanduk kontroversi seorang menteri yang dikatakan menceroboh masuk dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen, pada Khamis lalu.
Sejak kebelakangan ini, tindak-tanduk segelintir menteri kabinet Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian luas dan kritikan daripada warganet susulan implikasi yang dilihat tidak menyebelahi rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan pengumuman Rafizi dan Nik Nazmi berkenaan langkah rasionalisasi subsidi secara menyeluruh sudah pasti bakal menjadi antara bahan kempen utama PN bagi menjatuhkan imej PH-BN.
Berikutan itu, Sivamurugan menegaskan bahagian penerangan Kerajaan Perpaduan perlu segera memberi penjelasan tuntas secara kerap kepada rakyat agar mereka tidak terkeliru dengan dakyah bakal dimainkan pembangkang sepanjang kempen PRN kelak.
"Ini perlu kerana majoriti golongan B40 dan M40 amat bergantung dengan pelbagai subsidi diberikan kerajaan bagi mengurangkan beban kewangan susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang kian meningkat pada masa ini.
"Jadi, perlu ada intervensi daripada kerajaan dan Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan, perkara itu adalah sangat baik supaya mesej disampaikan Menteri Kabinet berkenaan tidak mengelirukan dan akhirnya liabiliti kepada Kerajaan Madani,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali pula berpandangan dakwaan salah laku seorang menteri yang membuat ‘kecoh’ di KLIA wajar disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mazlan berkata, tindakan menteri berkenaan – sekiranya benar – memberikan contoh tidak baik kepada orang awam dan seolah-olah menggalakkan perbuatan melanggar kedaulatan undang-undang keselamatan negara.
Klik di sini untuk terus membaca