DALAM kehangatan umum memperkatakan ‘Gelombang Hijau’ dan Pilihan Raya Negeri (PRN), ia hanya menyentuh tentang kebangkitan politik Melayu-Islam dalam konteks Perikatan Nasional (PN).
Sedangkan ada beberapa sudut yang harus dilihat dalam konteks itu bagi memahami fenomena tersebut secara menyeluruh.
Hakikatnya Gelombang Hijau bukanlah sesuatu yang baharu. Fenomena serupa pernah berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) tahun 1999.
Kemampuan Pas untuk menang 27 kerusi Parlimen, mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu ketika itu dikaikan dengan fenomena ‘Kebangkitan Islamisasi’ dalam kalangan orang Melayu.
Namun dalam PRU11 empat tahun selepasnya Pas hanya tinggal enam kerusi di Parlimen, hilang kuasa di Terengganu malah menang tipis dan hampir kalah di Kelantan.
Justeru melihat kepada trend keduanya, terdapat persamaan dan perbezaan yang relatifnya menunjukkan bahawa hayunan undi orang Melayu semakin sukar diramal sejak daripada dekad itu.
Naratif Gelombang Hijau mungkin sedikit negatif sepertimana yang dipersetujui oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Walaupun terminologi tersebut seolah-olah menggambarkan kebangkitan Islam dan konservatisme politik Melayu yang menggerunkan pengundi bukan Melayu, ia adalah sebaliknya bagi kelompok pengundi Melayu.
Mengambil kira secara perbandingan situasi PRU 1999 dan 2022 dalam konteks kebangkitan politik Melayu-Islam, keduanya memperlihatkan bahawa gelombang perubahan hanya berlaku apabila timbul sentimen ketidakpuasan kelompok Melayu terhadap UMNO sebagai kerajaan.
Cuma dalam situasi terkini, faktor ini semakin berkembang kerana keresahan orang Melayu dengan kerjasama janggal UMNO-DAP serta kemunculan parti-parti Melayu yang berupaya menyaingi UMNO terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dilihat, peralihan undi orang Melayu bukanlah disebabkan peningkatan penghayatan Islam mahupun mereka menjadi lebih ‘Melayu’ secara tiba-tiba, namun ia lebih kepada keresahan dan kemarahan mereka kepada UMNO mahupun Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.
Justeru itu, melihat gelombang hijau sebagai suatu fenomena yang mengaitkan PN semata-mata adalah tidak benar.
Fakta bahawa trend sokongan pengundi semakin dinamik dan sukar dibaca. Dengan hal tersebut sukar untuk membaca aliran sokongan memandangkan trend perubahan dan peningkatan persaingan parti politik di Malaysia yang semakin terbuka dan rumit untuk dikawal oleh sesiapapun.
Pertama, kemampuan UMNO untuk kembali memikat pengundi Melayu. Fenomena kebangkitan politik Melayu-Islam jelas berkait dengan kemerosotan sokongan UMNO yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan masalah keyakinan terhadap kepimpinan.
Dalam konteks PRU15, kemarahan orang Melayu terhadap kelemahan UMNO di samping tindak balas (backlash) akar umbi terhadap tindakan Zahid menyumbang kepada hal tersebut.
Mungkin benar ketika ini UMNO sukar untuk kembali dominan seperti sebelumnya. Namun kepentingan parti sebagai sebuah kuasa politik yang berpengaruh dalam kalangan orang Melayu masih utuh.
Kalau UMNO mampu melakukan pembaharuan dan perubahan dalaman parti yang meyakinkan, dengan kepimpinan yang betul UMNO tiada masalah untuk melakukannya.
Kedua faktor pengundi bukan Melayu dan sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak masih penting dalam mempengaruhi keputusan. PN jelas gagal membentuk kerajaan di sebalik menang besar di kerusi-kerusi Melayu disebabkan faktor ini.
Naratif Melayu-Islam akan menghindarkan sokongan kelompok ini dan sekiranya PN mahu untuk merebutnya, pendekatan yang lebih moden dan sederhana perlu dilakukan dengan pantas sebelum kerjasama PH-BN mencipta keserasian yang berkesan.
Lantas ini juga menjadi peringatan kepada PH dalam konteks undi bukan Melayu. Kerjasama janggal PH-BN juga akan dilhat dengan dekat oleh kelompok itu yang memungkinkan undi mereka kembali beku.
Faktor kerjasama dengan kleptokrat UMNO menjadi liabiliti buat PH ketika ia masih tidak dijelaskan secara baik kepada pengundi mereka yang masih tidak melihat budaya integriti, tata kelola dan tadbir urus baik (good governance) diangkat dalam kerajaan.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Klik di sini untuk terus membaca