SHAH ALAM - Umat Islam yang tinggal di London, United Kingdom (UK) perlu membayar sehingga lebih RM2,000 bagi satu bahagian lembu untuk melaksanakan ibadah korban di sana. Warga Malaysia, Alias Sidek, 55, yang telah menetap di London selama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Umat Islam yang tinggal di London, United Kingdom (UK) perlu membayar sehingga lebih RM2,000 bagi satu bahagian lembu untuk melaksanakan ibadah korban di sana.

Warga Malaysia, Alias Sidek, 55, yang telah menetap di London selama 33 tahun berkata, bagi seekor kambing biri-biri pula, harga yang telah ditetapkan adalah sekitar RM1,600.

Bagaimanapun katanya, walaupun harga tersebut dianggap tinggi, namun realitinya ia hanyalah 20 peratus daripada gaji minimum penduduk di sana.

"Jika dibandingkan dengan harga korban di Malaysia iaitu sekitar RM800 adalah bersamaan dengan lebih daripada 50 peratus daripada gaji minimum di Malaysia yang berjumlah RM1,500 sebulan.

"Nilai sebenar harga korban di UK adalah jauh lebih rendah,” katanya kepada Sinar Harian.

Berkongsi berkenaan perbezaan suasana pula, Alias berkata, keadaan di Malaysia adalah lebih meriah memandangkan orang ramai boleh berganding bahu untuk proses penyembelihan, lapah dan juga pengagihan daging korban.

"Di UK pula, ia hanya boleh dilakukan di pusat penyembelihan ataupun ladang sahaja disebabkan tidak boleh dilaksanakan di tempat umum,” ujarnya.

Menurut Alias, hanya individu yang mempunyai lesen penyembelihan haiwan sahaja dibenarkan untuk melakukan korban di sana.

"Di sini tidak ada gotong-royong macam dekat Malaysia. Di London, orang tempatan selalunya akan buat di masjid. Masjid akan aturkan tetapi ia (haiwan) tidak disembelih di masjid. Kalau nak tengok kena pergi dekat pusat penyembelihan.

"Kalau nak senang, mereka hanya pergi ke kedai jual daging yang halal. Kedai ini tolong aturkan ibadah korban ini. Kedai ini akan tempah lembu di pusat penyembelihan, dan orang yang nak laksanakan korban hanya agihkan daging,” jelasnya.

Katanya, kebanyakan mereka yang melaksanakan ibadah itu akan memberikan daging korban kepada pelajar kerana sukar untuk mencari golongan memerlukan di London.

"Penduduk di sini (London) Kalau tidak kerja pun kerajaan tanggung. Jadi biasanya daging korban akan diagih kepada pelajar,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca