KUALA LUMPUR - "Mama... Hasan rindu ayah.” Itu ungkapan yang memberi kesan mendalam buat Suriahanim Abdul Hamid, 48, balu mangsa korban kejadian rempuhan di Mina pada musim haji 2015.
Meskipun tragedi menyayat hati itu telah berlalu selama lapan tahun, kehilangan suami tercinta, Allahyarham Zulkifli Samad ketika anaknya, Hasan Zakiy berusia dua tahun menjadi fasa mencabar yang dilalui Suriahanim, lebih-lebih lagi ketika perlu menerangkan hal sebenar tentang pemergian duka berkenaan.
"Hasan hanya tahu perkara sebenar tiga tahun lalu. Sewaktu arwah meninggal dunia, kami sekeluarga hanya beritahu Hasan bahawa ayahnya pergi berjumpa ALLAH di Makkah dan ambil masa yang lama untuk balik semula ke Malaysia.
"Sehinggalah umurnya tujuh tahun, baru kami maklumkan ayahnya telah meninggal dunia semasa menunaikan ibadah haji. Hasan bertanya kenapa ayahnya meninggal dunia dan saya banyak bercerita tentang tragedi yang menimpa arwah kepada Hasan. Lama-kelamaan dia faham.
"Sejak dia faham, kadang-kadang dia akan menangis tiba-tiba. Apabila ditanya kenapa, sambil teresak-esak dia akan beritahu teringatkan dan rindukan arwah ayahnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Suriahanim berkata, rindu yang sering diungkap Hasan membulatkan tekadnya untuk bawa Hasan menunaikan ibadah umrah sekali gus dapat menziarahi kawasan perkuburan arwah suaminya dan hasrat itu telah dilaksanakan hujung tahun lalu.
"Alhamdulillah Disember tahun lalu, ketika Hasan berusia sembilan tahun, saya bawa dia ke Makkah tunaikan umrah dan dapat ziarah Perkuburan Syara’ik di Mina.
"Sepanjang ziarah, Hasan menangis teresak-esak rindukan ayahnya. Namun hanya doa dapat kami sampaikan kepada arwah yang berada di negeri abadi,” ujarnya.
KEKUATAN
Bercerita lanjut, menurut Suriahanim, pengalaman sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu banyak memberi kekuatan kepada dirinya untuk terus tabah dalam membesarkan Hasan.
Jelasnya, Hasan satu-satunya zuriat bersama arwah Zulkifly yang juga menjadi anak lelaki tunggal Allahyarham.
"Arwah suami ada empat anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu dan mungkin kerana Hasan anak lelaki tunggalnya, jadi mereka rapat.
"Semasa masih hidup, arwah sangat pentingkan ilmu agama dalam didikan anak-anak. Bila solat jemaah, Hasan pasti akan duduk bersama kami, lihat kami solat, kadang-kadang bermain-main naik atas belakang arwah ayahnya masa sujud, duduk atas ribaan ayahnya ketika tahiyyat,” kongsinya.
Suriahanim juga berkongsi tentang karektor Hasan yang disifatkan sebagai anak yang sangat baik dan taat, mirip keperibadian arwah suaminya.
Hasan kini berusia 10 tahun, bersekolah di sekolah agama integrasi dan mahu menghafal al-Quran.
"Insya- ALLAH suatu hari nanti moga ALLAH makbulkan doa saya agar Hasan menjadi seorang Al-Hafiz yang cemerlang di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Pada September 2015, Zulkifly disahkan meninggal dunia dalam insiden rempuhan di Mina selepas tersasar ke kawasan kejadian kerana dipercayai bergerak berasingan daripada jadual jemaah haji Malaysia yang lain.
Insiden rempuhan manusia yang dilapor mengorbankan lebih 2,000 nyawa itu berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) ketika umat Islam sedang menunaikan Rukun Islam yang kelima.
Klik di sini untuk terus membaca