SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tawaran pakej badal haji yang murah iaitu sekitar RM1,500 hingga RM3,000 kerana dikhuatiri menjadi mangsa kepada sindiket penipuan. Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn Bhd,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tawaran pakej badal haji yang murah iaitu sekitar RM1,500 hingga RM3,000 kerana dikhuatiri menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn Bhd, Sarina Sharif berkata, anggaran kos yang perlu dibayar kepada petugas bagi melaksanakan badal haji untuk seorang ketika ini adalah melebihi RM5,000.

Sarina turut mendedahkan bahawa terdapat banyak mutawwif iaitu pengajar jemaah haji dan umrah dari Tanah Suci mahupun Malaysia melakukan khidmat tersebut dengan mengambil upah serendah RM1,500.

Menurut Sarina, harga berkenaan tidak relevan memandangkan kos untuk memasuki Mina dan Arafah ketika ini telah melebihi RM3,000.

"Misalnya penjual (badal haji) dapat 30 orang yang upah, macam mana dia nak mencari petugas yang ingin melaksanakannya? Sebab itu berlakunya pergi seorang, kemudian letak nama melebihi 10 orang.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Orang ramai seharusnya waspada terhadap perkara ini dan jangan terpedaya dengan tawaran pakej yang murah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, terdapat satu pendedahan video berdurasi 51 saat di Facebook yang memaparkan mengenai tindakan sekumpulan lelaki yang menggunakan khidmat ‘pelakon’ untuk menunjukkan bukti bahawa badal haji telah dilaksanakan.

Helaian kertas kononnya sebagai bukti ibadah itu dilakukan turut kelihatan bersepah di sekitar kawasan Jabal Rahmah, Makkah dibuang oleh kumpulan terbabit dengan tertera nama dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, umat Islam yang menjadi mangsa penipuan badal haji dinasihatkan membuat laporan polis memandangkan kes berkenaan masih berlaku apabila tiba musim haji.

Oleh yang demikian, Sarina menasihati agar keluarga yang ingin melakukan atau menggunakan khidmat badal haji dinasihatkan untuk memilih daripada pengelola sah di bawah Tabung Haji bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Katanya, jika tidak melalui pengelola yang sah, ahli keluarga perlu lebih berhati-hati dengan melakukan kajian terperinci terhadap individu yang menjadi wakil atau menawarkan perkhidmatan badal haji.

Klik di sini untuk terus membaca