SHAH ALAM - Memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan menjadi referendum atau rungutan suara rakyat adalah tidak wajar kerana mengikut konteks semasa, ia memfokuskan hala tuju perjalanan sesebuah negeri.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pengundi akan melihat kepada situasi terbaik berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri.
"Ini adalah asas yang sempurna dalam menentukan hala tuju perjalanan sesebuah negeri, khususnya pemerintahan yang mempunyai satu petanda aras baik dalam pelaksanaan kepentingan sosioekonomi masyarakat.
"Jadi jika mahu melihat kepada konteks ketika ini yang mana PRN di enam buah negeri akan berlangsung dengan menyamakan pengundian dengan referendum sama sekali adalah tidak wajar,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa PRN di enam negeri itu nanti akan menjadi referendum terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.
Menurut Khairy, walaupun ada pihak yang cuba menafikannya tetapi tidak bagi pengundi.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy menjelaskan adalah penting untuk masyarakat memahami politik merupakan salah satu peluang untuk meraih kestabilan dan keselamatan politik juga ekonomi.
Jelasnya, masyarakat dan pemimpin perlu memainkan peranan dalam membawa nilai demokrasi subur dan matang untuk membentuk acuan demokrasi bersifat kestabilan politik bebas.
"Perkara itu juga perlu dilakukan untuk memastikan tidak berlakunya propaganda-propaganda negatif dan hanya berniat menaik taraf kestabilan serta keselamatan politik negara.
"Itu adalah nilai demokrasi matang dan kini sedang dicorak dengan baik. Saya berharap PRN ini membawa momentum itu khususnya apabila berlaku undi 18 dalam menaik taraf kepentingan dan kepekaan politik masyarakat terhadap parti memerintah atau yang akan bertanding,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca