SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak perlu mengikut rentak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mencabarnya bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Saifuddin tidak perlu melayan cabaran Muhammad Sanusi yang sememangnya terkenal sebagai seorang pemimpin suka mencetuskan kontroversi, membuat provokasi dan mencari musuh dengan Putrajaya bagi menonjolkan karakter politiknya.
Ketua UMNO Bahagian Jerai itu juga percaya Saifuddin akan dituduh sebagai individu yang tamak dan gila kuasa sekiranya menyahut cabaran Muhammad Sanusi untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN di Kedah.
Tegasnya, Saifuddin juga tidak perlu berbuat demikian kerana beliau kini sibuk dengan tugas selaku Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kita tidak perlu terlalu berpolitiking dengan mencabar mana-mana pihak bertanding di Kedah untuk mencetuskan kontroversi.
"Kalau Saifuddin sahut cabaran Muhammad Sanusi, saya bimbang orang akan tuduh beliau tamak dan gila kuasa," katanya kepada Sinar Premium.
Jamil Khir mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dilihat mencabar Saifuddin bertanding mana-mana kerusi DUN di Kedah pada PRN ini.
Dakwa Muhammad Sanusi, tidak mustahil Saifuddin ‘mengidam’ jawatan Menteri Besar Kedah kerana Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah itu dilihat agak ‘dekat’ dengan rakyat Kedah berbanding pemimpin PKR lain.
KEHABISAN MODAL POLITIK
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Muhammad Sanusi sengaja menimbul kontroversi dengan mencabar Saifuddin bertanding kerusi DUN kerana sudah kehabisan modal politik.
Ujarnya, Muhammad Sanusi juga dilihat membesar-besarkan isu itu bagi menutup kelemahan serta kegagalan Pas membawa kemajuan dan pembangunan selepas memerintah negeri Kedah sejak tahun 2020.
Justeru, Mahfuz meramalkan Saifuddin bukan sekadar tidak akan bertanding di mana-mana DUN di Kedah, malahan beliau dijangka tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pantai Jerejak di Pulau Pinang, yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya rasa Saifuddin juga tidak akan bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Pantai Jerejak di Pulau Pinang pada PRN kali ini kerana beliau memberi tumpuan kepada persoalan lebih besar iaitu soal ketenteraman dan keselamatan negara yang menjadi topik utama sekarang.
"Saya nampak cabaran Muhammad Sanusi terhadap Saifuddin tidak menyelesaikan sebarang isu berbangkit sedang dihadapi rakyat Kedah terutama masalah bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama.
"Kedah juga menghadapi masalah dari segi pembangunan infrastruktur dan penyalahgunaan dana oleh Pejabat Menteri Besar untuk mengadakan program selamat demi kepentingan politik sehingga ada penceramah di majlis tersebut menggelarkan pihak menentang Pas di Kedah sebagai musuh ALLAH," katanya.
Bagaimanapun, kata Mahfuz, terserah kepada Saifuddin sendiri dan PH sama ada mahu bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu bertanding atau tidak di Kedah atau mana-mana kerusi DUN di negeri lain pada PRN nanti.
Klik di sini untuk terus membaca