JUMAAT lepas, kecoh apabila sebuah portal berita melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah menceroboh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melepaskan seorang warga China dari... Klik di sini untuk terus membaca

JUMAAT lepas, kecoh apabila sebuah portal berita melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah menceroboh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melepaskan seorang warga China dari tahanan imigresen.

Pendedahan ini menimbulkan kemarahan orang ramai.

Mereka mempersoalkan bidang kuasa menteri terbabit dalam mencampuri urusan imigresen yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagi majoriti rakyat, isu kemasukan warga China ini agak sensitif kerana terdapat banyak laporan mengenai kedatangan pelancong dari China kemudiannya bertukar menjadi pendatang tanpa izin secara senyap untuk bekerja dan berniaga di negara ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat tahun lalu, KDN memaklumkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh 2018 hingga 2021.

Rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan ialah seramai 7,177,043 orang, namun yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

Berhadapan kritikan keras rakyat, King Sing tampil mengakui beliau hadir ke Imigresen KLIA, namun menafikan mengeluarkan sebarang arahan agar warga China terbabit dilepaskan.

"Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian,” tegas beliau dalam satu kenyataan media yang panjang lebar.

Namun, daripada kenyataan panjang lebar menteri terbabit, masih banyak persoalan tidak terjawab dan menimbulkan lebih banyak pertanyaan.

Pertama, beliau berkata situasi tersebut berlaku kerana masalah bahasa antara warga China tersebut dengan pegawai imigresen.

Dalam mempertahankan keadaan itu King Sing menyingkap kembali usaha beliau menambah pegawai yang boleh berbahasa Mandarin, Arab dan Tamil di KLIA bagi memudahkan kemasukan pelancong dari China, Timur Tengah dan India.

Kedua, Tiong juga mendakwa kehadiran beliau bertujuan membanteras rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen.

King Sing mendakwa terdapat pegawai Imigresen yang meminta suapan bagi melepaskan pelancong-pelancong dari China.

"Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal. Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” dakwa King Sing.

Kedua-dua kenyataan ini sangat bertentangan. Ia masalah komunikasi atau rasuah?

Jika masalah rasuah, mengapa King Sing tidak membangkitkan perkara dari awal sama ada secara terbuka, mahu pun tertutup kepada pihak yang bertanggungjawab, sama ada KDN atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun mungkin berniat baik, kehadiran King Sing di KLIA bagi menguruskan masalah kemasukan seorang warga China sangat mencurigakan rakyat.

Dalam keadaan kita mahu menarik pelancong ke negara ini, ia bukan bermakna kita harus berkompromi dalam soal kemasukan mereka.

Pun begitu, kita tidak boleh menyalahkan King Sing semata-mata. Imigresen kita juga mempunyai beberapa rekod kontroversi yang boleh menimbulkan syak wasangka, dan memberi 'benefit of the doubt' kepada King Sing.

Pada tahun lalu berlaku perbalahan besar antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dengan pegawai imigresen di KLIA.

Ini menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan melibatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beberapa tahun lalu, 34 orang pegawai Imigresen ditahan oleh SPRM kerana dikatakan menjadi dalang menguruskan kemasukan beribu-ribu warga China ke dalam negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah salah seorang pegawai Imigresen yang ditahan dikatakan mengambil suapan sehingga RM22,000 di pintu masuk KLIA.

Dengan kata lain, kedua-dua pihak yang bertelagah punya situasi yang meragukan dan ini memerlukan satu siasatan telus dan jujur oleh Kerajaan Madani.

Soalnya, adakah kerajaan punya keberanian menguruskan hal ini secara madani dan telus?

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca