PAKAR ekonomi berpandangan penyusutan nilai ringgit boleh menjadi bertambah buruk sekiranya ekonomi global terus lesu selain ketiadaan dasar dan strategi jelas daripada kerajaan bagi menangani masalah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, kerajaan dilihat tidak mempunyai visi jelas, komprehensif dan berjangka panjang berhubung situasi penyusutan nilai ringgit.
"Saya melihat lebih banyak reaksi berbanding tindakan selain signal berbeza-beza.
"Masih tidak jelas sama ada kerajaan percaya akan kepentingan pasaran ekonomi atau mahu berkeras dengan kawalan harga, sekatan harga dan birokrasi,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Terdahulu, ringgit dilaporkan merekodkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023 sekali gus mendahului kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia lain.
Bagi enam bulan pertama 2023, ringgit turut mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun Asia apabila susut 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal.
Menurut Carmelo, terdapat beberapa faktor utama di sebalik kelemahan nilai ringgit.
"Nilai ringgit yang lemah adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya ketidaktentuan ekonomi di peringkat antarabangsa sekali gus menjadikan dolar AS pilihan sebagai mata wang rizab selamat.
"Keduanya, prestasi buruk ekonomi China kesan daripada dasar penutupan dan sekatan bersifat ‘bunuh diri’ turut mampu memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara selaku antara rakan dagang rapat dengan China,” katanya lagi.
Jelas Carmelo lagi, walaupun kelemahan nilai ringgit tidak mencerminkan sepenuhnya kelemahan ekonomi berikutan adakalanya ia bersifat serangan spekulatif, namun pemacu utama pembangunan negara adalah pelaburan dan dengan segala ketidaktentuan ini pelaburan akan menjadi sukar.
"Kerajaan seharusnya menampilkan strategi pro-pasaran yang agresif dan memihak kepada ekosistem pelaburan, di mana ia akan dapat meningkatkan mata wang ringgit,” katanya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim turut mengakui, dasar tidak menentu yang dikeluarkan oleh kerajaan akan menyebabkan pelabur dalam dan luar negara berasa tidak yakin untuk melabur di Malaysia.
Katanya, kerajaan perlu memiliki strategi dan dasar yang mampan dan komprehensif dalam menangani isu ini dengan mengambil kira gabungan dasar monetari, fiskal dan struktur.
"Sebagai contoh, kerajaan boleh mengambil tindakan segera seperti menggunakan langkah dasar monetari seperti melaksanakan kawalan modal sementara.
"Kawalan ini boleh menyekat aliran keluar dana negara dengan mengenakan had ke atas penukaran mata wang atau pelaburan asing," katanya.
Menurut Muhamad Zharif lagi, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai transaksi untuk menghalang aktiviti spekulatif atau mudahnya aktiviti 'perjudian' untuk mendapatkan pulangan yang cepat.
Hal ini sekali gus dapat membantu menstabilkan mata wang dan mengelakkan kejatuhan ketara dalam nilainya.
"Kerajaan juga perlu melaksanakan dasar fiskal yang bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur dalam dan luar negara.
"Selain itu, dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk projek infrastruktur, kerajaan mampu merangsang ekonomi dan menarik pelaburan," katanya.
Dalam pada itu, kestabilan politik dan tadbir urus yang baik juga penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan menyokong kestabilan ringgit di masa hadapan.
Tegas Muhamad Zharif, isu penurunan ringgit perlu diatasi kerana akan mengakibatkan peningkatan kos barang makanan dan seterusnya menjejaskan pulangan perniagaan dan tekanan inflasi barangan dan perkhidmatan kepada rakyat.
"Kos import yang meningkat menyebabkan perniagaan mungkin menyalurkan peningkatan kos ini kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan.
"Ini membawa kepada kadar inflasi yang lebih tinggi, menurunkan kuasa beli individu dan berpotensi menjejaskan taraf hidup rakyat," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca