SEMPENA Aidiladha ini, seharusnya setiap umat Islam menilai semula pengorbanan dilakukan.
Sejauh mana pengorbanan, khususnya untuk saudara kita yang dizalimi di Palestin, penjara terbesar di dunia.
Kekejaman rejim Zionis sudah tidak lagi berselindung. Acap kali setelah kekejaman dilakukan, tampillah kecaman, kutukan dan demonstrasi di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.
Mereka sudah lali dengan kutukan dan kecaman antarabangsa itu. Tidak sedikit pun menakutkan rejim Zionis yang berselindung di belakang kuasa-kuasa besar dunia.
Mereka sangat faham, umat Islam sendiri berpecah belah dan terlalu mementingkan diri sendiri, tidak berupaya mempertahankan saudara seagama di Gaza dan Palestin.
Bumi Palestin sentiasa dibasahi darah para syuhada’ yang mempertahankan kedaulatan negara dan agama.
Sudah tiba masanya untuk bertindak, tidak hanya menyuarakan kecaman semata-mata.
Kemungkaran besar rejim Zionis perlu ditangani mengikut tatacara diajarkan sendiri Rasulullah SAW sebagaimana pernah disabdakan baginda yang bermaksud: " Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah mencegahnya dengan tangan (kekuasaan). Jika sekiranya dia tidak berkemampuan, hendaklah dia mencegahnya dengan lidah (suara), dan sekiranya masih tidak berkemampuan, hendaklah dia mencegahnya dengan hati (menyatakan kekesalan), dan ia adalah selemah-lemah iman.”
Piawaian yang digunakan Rasulullah SAW dalam mencegah kemungkaran berbeza mengikut kemaslahatan dan tahap keimanan kita.
Sekiranya kita hanya merasakan tidak puas hati dengan kekejaman rejim Zionis, iman kita berada di dalam tahap sangat kritikal dan lemah.
Namun sekiranya bersuara membuat kecaman, kutukan dan menzahirkan rasa benci, tahap keimanan sedikit meningkat daripada yang pertama tadi.
Tetapi yang terbaiknya, seorang Muslim itu dapat mencegah kemungkaran menerusi kekuasaaan yang ada.
Tahap yang kedua sudah tidak lagi berkesan kerana rejim Zionis langsung tidak mengendahkannya.
Apatah lagi kuasa-kuasa besar melindungi mereka kelihatan kebal dan tidak dapat dipatahkan.
Umat Islam perlu bersatu membentuk satu pasukan kuat menggunakan sebarang kelebihan yang ada bagi menolak kemungkaran.
Perlu berani, menolak kepentingan diri dan ikhlas walaupun menongkah arus tidak seiring dengan kuasa-kuasa besar.
Kita lazim mendengar kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin sama ada menangkap, menyiksa, mengebom, membunuh dan menzalimi.
Tidak terhad kepada orang Palestin sahaja, tetapi tanpa mengira bangsa.
Umpamanya serangan di perairan antarabangsa terhadap kapal yang mengibarkan bendera beberapa negara berdaulat yang mana Israel tidak berperang dengan negara-negara tersebut seperti Turki, Greece dan Amerika Syarikat. Suatu ketika dahulu boleh disifatkan sebagai peperangan terhadap negara-negara tersebut.
Tindakan tersebut adalah suatu jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan (Crime against the peace and humanity).
Perkara 6 Charter Provisions of Nuremburg Trials mentafsirkan jenayah terhadap keamanan bermakna 'merancang, menyediakan, memulakan atau melaksanakan suatu peperangan atau penindasan, atau peperangan yang melanggar perjanjian atau triti antarabangsa, ataupun menyertai dalam rancangan bersama atau konspirasi untuk mencapai apa yang dimaksudkan tadi.”
Sementara jenayah terhadap kemanusiaan pula ialah 'pembunuhan... deportasi dan sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam sebelum atau semasa peperangan”.
Peraturan Konvensyen Hague 1907 Bab II pula menyebut kapal-kapal yang melaksanakan misi keagamaan, sains dan pilantropi mestilah dikecualikan daripada tahanan.
Oleh itu, Israel tidak mempunyai kuasa yang sah menyerang Mavi Marmara beberapa tahun lepas secara ketenteraan, tidak boleh menaiki kapal tersebut secara paksa, menahan apatah lagi menyerang penumpang-penumpang yang tidak bersenjata, membunuh, mencedera dan memenjarakan mereka.
Barangan peribadi aktivis keamanan ini juga dirampas dari pegangan mereka.
Bukan sahaja Mavi Marmara yang terlibat, tetapi lima kapal lain juga menjadi mangsa kekejaman Rejim Zionis iaitu Sofia (kapal kargo Greece), Gaza 1 (kapal kargo Turki), Gaza II (kapal kargo Turki), Spendoni (kapal penumpang Greece) dan Challenger I (kapal penumpang Amerika Syarikat).
Berbalik kepada tindakan perlu kita lakukan, masyarakat Islam dan antarabangsa tanpa mengira ras, agama dan warna kulit perlu mengheret Israel ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan itu.
Mungkin ramai yang telah alpa dengan peristiwa ini, namun rekod jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan yang dilanggar rejim Zionis perlu kekal menjadi pengajaran khususnya buat umat Islam.
Persoalan sekarang ini bersempena dengan Aidiladha. Di manakah pengorbanan kita sebagai umat Islam membantu saudara di bumi Palestin?
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Klik di sini untuk terus membaca