KITA pernah mendengar peribahasa yang mengatakan lembu punya susu, sapi dapat nama.
Ia digunakan bagi menggambarkan keadaan dalam mana orang lain berusaha, bekerja keras dan bersusah payah untuk melakukan sesuatu yang memberi faedah, orang lain yang mendapat pujian.
Dalam kes kemunculan pelbagai platform media sosial yang dikendalikan syarikat-syarikat raksasa teknologi dan hubungannya dengan industri berita dan kewartawanan, bukan sahaja di negara ini tetapi di luar negara, keadaannya sama seperti lembu punya susu, sapi dapat nama.
Cuma dalam kes ini, peribahasa itu kena diubah sedikit. Bukan lagi lembu punya susu, sapi dapat nama tetapi lembu punya susu, sapi buat untung – bukan sahaja buat untung, tetapi keuntungan besar.
Hal ini kerana dengan adanya pelbagai platform media sosial yang dimiliki oleh sapi bernama Google, Yahoo dan Facebook, karya-karya kewartawanan yang dihasilkan organisasi media yang bekerja keras bagai lembu itu boleh diakses mengikut selera dan keutamaan pengguna secara percuma secara dalam talian.
Kandungan kewartawanan itu boleh dalam bentuk laporan berita, laporan penyiasatan, penulisan rencana atau ulasan, komentar dan penjelasan mengenai isu-isu semasa atau peristiwa yang mempunyai kepentingan awam pada peringkat tempatan, serantau atau global.
Bagaimanapun ruang tambahan untuk menyebarkan karya-karya kewartawanan itu tidak memberi pendapatan atau pulangan kewangan yang setimpal.
Sebaliknya kehadiran sapi dalam bentuk media sosial itu menjejas teruk pendapatan pengiklanan yang menjadi nyawa kepada organisasi media profesional untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan yang telah dipaparkan pelbagai platform tersebut.
Hal ini berlaku kerana apabila karya-karya kewartawanan itu diakses melalui media sosial secara percuma oleh para pengguna maklumat, dan iklan-iklan dipapar pada item-item berita, rencana atau komentar sewaktu ia diakses, pendapatan pengiklanan itu dibayar pengiklan langsung kepada pengendali platform media sosial berkenaan, bukannya kepada organisasi media yang menghasilkan laporan-laporan berkenaan.
Walhal, untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan itu memakan belanja yang besar kerana organisasi media perlu menggajikan pasukan wartawan profesional serta khidmat sokongan editorial lain yang diperlukan.
Para sapi yang menjadi pemilik platform media sosial yang bertindak sebagai pengumpul berita maklumat itu tidak membiayai kos tersebut. Mereka buat untung atas angin, kata orang.
Lebih malang lagi, ada antara mereka tidak mahu berkongsi pendapatan pengiklanan diperoleh melalui paparan karya-karya kewartawanan yang dihasilkan organisasi media tadi.
Atau kalau ada yang bersedia berkongsi pendapatan, kuantum yang dibayar adalah kecil.
Adilkah apabila keadaan ini berlaku? Tentulah tidak.
Tetapi oleh kerana para sapi yang memiliki pelbagai platform media sosial amat berpengaruh dari segi teknologi serta berstatus raksasa dan organisasi media pula ingin menyebar luaskan karya-karya kewartawanan yang dihasilkan menerusi platform-platform disediakan, keadaannya sama seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Di sesetengah negara yang menganggap kewartawanan dan industri berita sebagai penting untuk melindungi dan memantapkan demokrasi, kerajaan telah campur tangan dengan memperkenalkan kerangka perundangan bagi mentakrifkan hubungan antara gergasi teknologi dengan organisasi media tempatan.
Tersirat di sebaliknya usaha ini adalah untuk memastikan keuntungan diperoleh raksasa teknologi melalui penggunaan kandungan tempatan di negara berkenaan tidak dibolot sepenuhnya oleh mereka.
Sebaliknya keuntungan itu hendaklah dikongsi bagi membiayai kos kewartawanan tempatan.
Hal ini telah berlaku di Australia. Di negara itu telah diperkenalkan akta yang dikenali sebagai News Media and Digital Platforms Bargaining Code pada tahun 2021.
Di bawah kerangka perundangan tersebut, Google dan Facebook bersetuju membayar A$200 juga setahun kepada media Australia untuk membiayai kos kewartawanan media besar dan kecil di negara tersebut.
Kanada pula baru-baru ini meluluskan The Online News Act yang mewajibkan gergasi digital membayar media negara itu bagi kandungan kewartawanan tempatan yang dipaparkan dalam media sosial masing-masing.
Jika kerangka perundangan yang sama boleh diperkenalkan di negara ini, maka kewartawanan tempatan kita juga akan mendapat faedah.
Kepincangan keadaan susu punya lembu, sapi dapat untung tentulah dapat dibetulkan.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca