SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menubuhkan pasukan petugas penyiasatan khas melibatkan kesemua agensi keselamatan dan kementerian. Ia susulan bagi menyiasat insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menubuhkan pasukan petugas penyiasatan khas melibatkan kesemua agensi keselamatan dan kementerian.

Ia susulan bagi menyiasat insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penubuhan pasukan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu amat penting memandangkan kes tersebut melibatkan pertuduhan silang di antara dakwaan menteri terhadap berlakunya amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa, dengan dakwaan menteri itu menyalahgunakan kuasanya bagi melepaskan seorang pelancong China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tegasnya, hasil laporan siasatan pasukan petugas khas itu juga perlu telus dalam mengenal pasti fakta sebenar kes dan tidak wajar dijadikan bahan mempertahankan kepentingan mana-mana pihak setelah ia disiapkan kelak.

Mohamed Haniff - FOTO ROSLI TALIB

"Kalau hendak pastikan fakta kes tepat dan tidak dimanipulasi mana-mana pihak, KDN perlu bawa masuk SPRM dan polis untuk bantu siasatan serta ia tidak boleh sekadar dikendalikan oleh Jabatan Imigresen semata-mata.

"Langkah itu penting dalam memastikan hasil laporan siasatan dapat mengenal pasti pihak mana yang bercakap benar dan menyalahgunakan kuasa.

"Ketika ini, banyak pandangan dan pendapat dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk persatuan pelancong tetapi sehingga fakta tepat masih belum diketahui," katanya kepada Sinar Premium.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia, Yusmadi Yusoff berpandangan, setiap agensi kerajaan yang terlibat dengan insiden kekecohan di KLIA tersebut, perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam menyelesaikannya.

Jelas beliau, isu itu sepatutnya diselesaikan dengan lebih berkesan sekiranya setiap pemegang taruh memastikan pengurusan dan tatakelola perihal keselamatan pintu masuk negara di KLIA dilaksanakan sebaiknya.

Pasukan petugas khas perlu ditubuh bagi menyiasat insiden kekecohan di KLIA baru-baru ini.

"Bagi saya, isu ini perlu mendapat perhatian khusus pucuk kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan memandangkan ia saling berkait dengan tahap keyakinan negara luar terhadap sistem perundangan Malaysia.

"Kementerian Pelancongan, Jabatan Imigresen, Kementerian Pengangkutan, pengurusan KLIA dan PDRM perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya dalam memastikan isu kemasukan pelancong asing dapat diselesaikan secara profesional, harmoni dan diplomatik," luahnya.

Klik di sini untuk terus membaca