WALAUPUN inflasi dilaporkan reda, namun ancamannya tetap ada. Yang terbaharu adalah amaran mengenai kemungkinan harga beras naik lagi. Sesiapa saja yang mengikuti perkembangan komoditi antarabangsa atau tahu membuat penyelidikan, tidak akan... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN inflasi dilaporkan reda, namun ancamannya tetap ada. Yang terbaharu adalah amaran mengenai kemungkinan harga beras naik lagi.

Sesiapa saja yang mengikuti perkembangan komoditi antarabangsa atau tahu membuat penyelidikan, tidak akan terperanjat dengan ramalan Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin, Ameer Ali Mydin baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, harga runcit beras putih import 10 kilogram (kg) akan naik pada bila-bila masa dengan anggaran RM1 bagi satu beg.

Laporan antarabangsa meramalkan yang kekurangan bekalan beras dunia tahun ini akan mencapai tahap paling buruk dalam tempoh masa dua dekad.

Harga purata sepanjang tahun ini diramalkan AS$17.30 (kira-kira RM80.80) setiap CWT dan dijangka reda pada kadar AS$14.50 (RM67.70) tahun depan.

CWT ialah singkatan kepada 'hundredweight' yang bersamaan dengan 100 paun atau 45.35 kilogram.

Pihak berkuasa pertanian dan perdagangan kita tentu tahu maklumat ini kerana ia ada dalam domain awam.

Yang menjadi persoalan, adakah kerajaan akan membenarkan harga runcit beras subsidi naik?

Pada 7 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga beras keluaran tempatan kekal pada kadar RM2.60 sekilogram walaupun harga import telah meningkat kepada RM2.69.

Bukan semua beras yang dijual di pasaran diberi subsidi dan tertakluk kepada kawalan harga.

Memburukkan lagi keadaan adalah tindak-tanduk kerajaan, birokrasi dan peniaga. Selalunya, apabila harga komoditi dunia naik, harga runcit tempatan naik.

Tidak cukup dengan kenaikan harga, ia ditambah oleh pengambilan keuntungan yang berlebihan (profiteering).

Tetapi apabila harga dunia turun, harga tempatan kekal. Kerajaan sendiri berdiam diri seolah-olah satu konspirasi kerana apabila harga barang tinggi, cukai kerajaan pun bertambah.

Pihak berkuasa pun nampak sangat keberatan membuat operasi dan bertindak terhadap peniaga yang tipu harga, tipu timbang dan tipu kualiti.

Satu lagi, bukan orang Malaysia saja yang makan beras subsidi. Soal selidik oleh Ketua Audit Negara pada tahun 2014 mendapati 63 peratus pengguna beras subsidi adalah rakyat tempatan, manakala selebihnya orang asing.

Malah pengusaha kedai makan dan penternak pun curi guna beras subsidi.

Kesimpulannya, terdapat kecenderungan ke arah tipu helah dan tipu diri dalam membentang dan menganalisis fakta serta perangkaan oleh kerajaan dan agensi-agensinya.

Misalnya mengenai pengeluaran beras negara dan pengagihan penjimatan subsidi petrol yang dijadikan oleh kerajaan pada tahun 2006.

Kepada yang tahu, ia hanyalah cakap kosong.

Berpuluh-puluh bilion duit penjimatan subsidi petrol digunakan bagi membangunkan prasarana pengangkutan bandar seperti MRT dan LRT, tetapi prasarana pengeluaran padi tetap seperti seperti 40 atau 50 tahun lalu.

Daripada banyak kawasan padi, hanya Sekinchan lengkap dengan 'tertiary irrigation' atau parit gila.

Akibat pengairan separuh jalan ini, penanam padi terus daif dan produktiviti rendah.

Menurut Indeks Mundi, pengeluaran beras paling tinggi di dunia bagi setiap hektar ialah di Australia iaitu 10 tan metrik, diikuti Mesir, Peru dan Turki, masing-masing dengan sembilan tan.

Di Asia Tenggara, Vietnam mencatatkan produktiviti terbaik iaitu enam tan, Indonesia lima tan dan Malaysia di anak tangga ke-46 di dunia dengan empat tan.

Tidak hairanlah kalau import beras terus meningkat iaitu kira-kira 1.24 juta tan tahun lalu atau sekitar 30 peratus keperluan dalam negara berbanding 1.16 juta tan tahun 2021.

Oleh sebab itulah harga beras di pasaran tempatan sensitif kepada harga dan bekalan dunia.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca