BIARPUN Barisan Nasional (BN) sekadar bertanding 45 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, namun ia jauh lebih banyak diterima koalisi itu berbanding angka sepatutnya. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Barisan Nasional (BN) sekadar bertanding 45 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, namun ia jauh lebih banyak diterima koalisi itu berbanding angka sepatutnya.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi menjelaskan, jumlah 45 peratus kerusi PRN yang diagihkan Pakatan Harapan (PH) adalah jauh lebih tinggi daripada kadar peratusan kemenangan BN di kerusi Parlimen dan tujuh DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan statistik data PRU15 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anis Anwar mendedahkan jumlah peratusan kadar kemenangan BN pada 222 kerusi Parlimen PRU15 sekitar 23.4 peratus, manakala peratusan kerusi DUN di tujuh negeri di mana dua daripadanya berjaya membentuk kerajaan, adalah 38.75 peratus di Pahang dan 20.38 peratus di Perak.

"Bersandarkan data dan statistik prestasi pada PRU15, BN sewajarnya lebih daripada berpuas hati dengan jumlah kerusi DUN bagi PRN enam negeri kali ini kerana angkanya realistik dengan realiti pencapaian koalisi pada pilihan raya lalu.

"Ini kerana jumlah kerusi yang dimenangi BN pada PRU15 lalu sekitar 23.4 peratus di peringkat Parlimen, manakala peratusan kerusi DUN dimenangi mereka di negeri koalisi itu membentuk kerajaan adalah 38.75 peratus di Pahang dan 20.38 peratus di Perak.

"Justeru, jumlah 45 peratus kerusi DUN PRN enam negeri yang ditawarkan PH kepada BN melebihi kadar peratusan kemenangannya semasa PRU15,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa koalisi itu dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Ulas Timbalan Perdana Menteri itu, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi BN dan PH pada PRU15.

Berikutan itu, ramai pemimpin politik memberi pandangan skeptikal termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpendapat UMNO-BN kini sudah terjerumus ke lembah gelap dan sukar dipulihkan pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Anis Anwar bagaimanapun berkeyakinan keputusan PRN enam negeri secara amnya tidak akan memberi kesan langsung terhadap jangka hayat Kerajaan Perpaduan, biarpun BN mungkin kalah teruk di sebilangan besar kerusi.

Jelasnya, PRN enam negeri hanya menentukan pembentukan kerajaan di peringkat negeri dan tidak mempengaruhi pentadbiran Putrajaya.

"Tambahan pula, Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN memegang kuasa menentukan sokongan BN secara en bloc berdasarkan watikah yang ditandatangani calon dan ahli Parlimen BN, sebelum PRU15 lalu.

"Adalah sukar untuk meramalkan Ahmad Zahid menggunakan autoritinya supaya UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan kerana beliau sendiri antara arkitek penting ke arah pembentukan jajaran politik baharu PH-BN dan kini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Anis Anwar mengunjurkan situasi luar biasa kejatuhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berlaku sekiranya Ahmad Zahid dipaksa meletakkan jawatan selepas PRN enam negeri, sebagai tindak balas kekalahan BN-PH di negeri dikuasai PH sebelum ini.

"Jika gabungan BN-PH kalah teruk pada PRN nanti, tidak mustahil ada gerakan menuntut Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, sekali gus membuka ruang kepada pemimpin BN yang menggantikan beliau menarik balik sokongan terhadap Anwar secara en bloc,” tegas Anis Anwar.

TIADA GUNA KERUSI BANYAK

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa pula berpandangan tiada guna UMNO-BN memperoleh jumlah kerusi PRN yang banyak, hanya sekiranya peluang parti untuk menang amat tipis.

Tegasnya, perkara paling penting adalah mengukuhkan kerjasama antara jentera BN dan PH bagi memastikan calon parti mewakili Kerajaan Perpaduan menang semua kerusi ditandingi kelak.

Jelas Othman, pemberian 110 kerusi DUN kepada BN sudah dibincangkan secara terperinci antara pucuk pimpinan PH dan BN sebelum ia dimuktamadkan.

"Apa gunanya kita mendapat beratus-ratus kerusi DUN, namun tewas PRN. Bila berebut banyak kerusi, pastinya akan timbul perpecahan jentera parti dan pergaduhan sesama sendiri yang merugikan gabungan BN-PH.

"Semua penyokong BN-UMNO dan PH kena ingat, kita sekarang berkongsi kuasa di bawah Kerajaan Perpaduan. Bukannya boleh memerintah secara solo macam dulu,” katanya.

Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat bersetuju dengan pandangan PH berhak mendapat lebih banyak kerusi daripada BN pada PRN enam negeri.

Ujarnya, rekod pencapaian PH pada PRU14 membuktikan mereka menang lebih banyak kerusi DUN berbanding BN dengan PH menang 108 daripada 132 kerusi DUN, manakala BN sekadar memenangi 43 kerusi DUN.

"PH berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, berbanding BN mempertahankan Perlis dan Pahang pada PRU14.

"Kalau PH bertanding 45 peratus kerusi PRN, jumlah itu mewakili tambahan dua kerusi disandang koalisi itu.

"Justeru angka 55 peratus atau 135 kerusi adalah lebih ideal mewakili kekuatan PH,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca