SHAH ALAM - Umat Islam dilarang mendoakan perkara buruk atau kemudaratan ke atas orang lain termasuk kematian.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, permohonan doa itu tidak boleh dipolitikkan dan jangan sampai hilang pedoman hingga sanggup mendoakan kematian kepada individu lain.
Jelasnya, soal kematian bukan hak manusia untuk menentukan, justeru lebih baik berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
"Berdoa ini perlu hati-hati. Jangan kita mendoakan supaya orang lain mati. Adab kita berdoa untuk perkara kebaikan dan konsepnya adalah untuk memohon permintaan kepada ALLAH SWT sebaik-baiknya untuk manfaat diri dan orang lain.
"Soal kematian itu, kita serahkan kepada ALLAH. Jadi tidak perlu doa sedemikian kerana bukan hak dia untuk menentukan perkara berkaitan nyawa,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengguna Twitter itu sepatutnya memelihara adab dan mendoakan perkara yang baik walaupun berbeza pandangan dan politik.
"Doakan yang baik, adab harus di pelihara walau berbeza pandangan dan politik,” katanya.
Pada masa sama, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan dakwaan bahawa individu yang tular membuat ciapan berhubung kesihatan Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan beliau atau Pejabat Perdana Menteri.
Shamsul Iskandar berkata, meskipun individu dikenali Zaki Yamani itu pernah berkhidmat selaku Setiausaha Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu beliau memimpin AMK pada 2007, namun itu tidak membawa sebarang kaitan atau makna dalam mana-mana kapasiti rasmi.
Kenyataan itu merujuk kepada seorang pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ yang didakwa ada kaitan dengan Shamsul Iskandar yang memuatnaik hantaran di platform berkenaan, meminta agar nyawa Abdul Hadi diambil selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot.
Pengguna Twitter itu juga menulis perkara sama terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Klik di sini untuk terus membaca