ANTARA tarikan taman-taman di United Kingdom (UK), terutama yang mempunyai kolam, anak sungai atau tali air adalah itik dan angsa pelbagai jenis dan warna. Tentulah yang paling menarik perhatian ramai adalah angsa putihnya. Selain warna... Klik di sini untuk terus membaca

ANTARA tarikan taman-taman di United Kingdom (UK), terutama yang mempunyai kolam, anak sungai atau tali air adalah itik dan angsa pelbagai jenis dan warna.

Tentulah yang paling menarik perhatian ramai adalah angsa putihnya. Selain warna yang putih bersih, angsa ini jauh lebih besar daripada angsa yang biasa kita jumpa di Malaysia. Ia dikenali sebagai ‘mute swan’ atau nama saintifiknya Cygnus Olor.

Angsa putih ini adalah antara spesies binatang yang dilindungi di UK. Namun ramai yang tidak tahu bahawa ia juga punya status istimewa di sini. Semua angsa putih yang ada di UK secara automatik menjadi milik Raja England.

Justeru, sesiapa yang menangkap angsa ini untuk dimakan atau dijadikan binatang peliharaan bukan saja telah melanggar undang-undang, malah dianggap begitu hina kerana cuba menceroboh harta istana.

Sejarah angsa putih ini unik juga sebenarnya. Ia bermula seawal kurun ke-12.

Di zaman itu, angsa putih menjadi sumber makanan yang sangat penting dan merupakan komoditi mahal, diperdagang orang-orang kaya.

Sehinggakan siapa saja yang memiliki angsa putih dikira mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat.

Setiap angsa putih yang ditangkap akan diukir paruhnya dengan corak unik sebagai pengenalan kepada pemiliknya. Proses ini dinamakan ‘swan-upping’.

Thomas Barritt (1743-1820) pernah membuat pendaftaran ukiran dan nama pemilik angsa putih di sekitar Sungai Thames pada akhir kurun keenam belas.

Pada zaman itu, pemilik angsa putih boleh jadi orang yang berkuasa, orang kaya mahupun organisasi tertentu seperti gereja atau sekolah.

Namun hari ini, hanya ada dua saja pemilik sah angsa putih di UK selain Raja England.

Meski secara tradisi semua angsa putih ini dimiliki Raja, namun mendiang Ratu Elizabeth II semasa zaman pemerintahannya, memberi perhatian khusus kepada angsa putih yang berada di sekitar Sungai Thames London sahaja.

Tradisi swan-upping masih diteruskan hingga hari ini. Ia diadakan pada minggu ketiga bulan Julai setiap tahun dan diketuai ‘swanmaster’ atau penjaga angsa diraja. Swanmaster ini bertanggungjawab terhadap semua angsa di sekitar London.

Objektif swan-upping hari ini bukanlah semata-mata untuk membanci jumlah angsa dan mengukir paruh mereka seperti tradisi diraja.

Semasa upacara berlangsung, enam sampan khas yang membawa swanmaster dan kru lain akan mengemudi sungai Thames bagi menangkap itik dan angsa yang ada.

Setelah ditanda, mereka akan ditimbang dan diperiksa kesihatannya. Angsa atau itik yang sakit akan segera diberi rawatan.

Jadi swan-upping sebenarnya bertujuan memelihara pelbagai spesies itik dan angsa yang ada di sekitar kawasan tadahan Sungai Thames.

Jika diteliti, tradisi memelihara angsa putih UK ini sebenarnya adalah simbolik komitmen tinggi pihak istana UK untuk melindungi flora dan faunanya.

Raja Charles III sendiri pernah dianggap seorang putera yang aneh 50 tahun lalu kerana kecintaan mendalamnya terhadap alam semula jadi.

Sejak remaja, baginda lebih banyak menghabiskan masa berkebun di istana singgahnya, Highgrove House yang terletak di Tetbury, Gloucestershire.

Nyata berbeza dari kebanyakan putera raja di zaman itu yang lebih gemar berhibur dengan harta mereka. Minatnya itu berhasil menjadikan taman tersebut antara taman yang paling indah di UK hari ini.

Pada usia 21 tahun, baginda juga sudah lantang menyatakan kebimbangannya terhadap pelbagai isu alam sekitar termasuk pencemaran sungai, laut serta perubahan iklim.

Bukan sekadar aktif di UK, baginda malah tidak melepaskan peluang menyertai dialog dengan ketua-ketua negara seluruh dunia untuk membincangkan masalah alam yang kian meruncing.

Beberapa NGO alam sekitar turut menerima dana darinya. Paling menarik, Raja Charles turut melapor jumlah pelepasan gas rumah kaca oleh dirinya sendiri meskipun angkanya begitu tinggi berbanding rakyat biasa.

Tony Juniper, bekas Pengarah Friends of the Earth dan kini Pengerusi Natural England, pernah menyatakan Raja Charles adalah 'the most significant environmental figure in history'.

Sampaikan apabila baginda dilantik sebagai Raja England menggantikan mendiang ibunya, ada suara-suara sumbang meminta baginda mengendurkan pendiriannya ini.

Terutamanya golongan kapitalis dan pelobi yang diketahui umum bertanggungjawab mengeksploitasi alam demi keuntungan masing-masing.

Mereka begitu bimbang Raja England bakal mengancam aktiviti mereka untuk terus meraih untung besar dari alam.

Cerita angsa putih diraja mahupun kecintaan aneh Raja Charles III pada alam cukup untuk membuktikan bahawa institusi raja dan tradisinya mampu menjadi teladan yang amat baik kepada rakyat jelata untuk hidup lebih harmoni dengan alam.

Di UK, sebut saja raja, yang tergambar di minda rakyat adalah keindahan taman-taman diraja dan kawasan hutan simpan yang subur menghijau.

Tidakkah negara kita boleh juga berbuat begitu? Jika pun tidak seluruh hutan belantara, sekurang-kurangnya ada haiwan kita dapat terus hidup di bawah naungan negara.

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca