YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ditubuhkan pada 25 Januari 1974 oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Yadim memperjuangkan dakwah Islamiah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta melaksanakan dakwah secara progresif... Klik di sini untuk terus membaca

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ditubuhkan pada 25 Januari 1974 oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Yadim memperjuangkan dakwah Islamiah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta melaksanakan dakwah secara progresif kepada seluruh lapisan masyarakat.

Apabila Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkenalkan Malaysia Madani sebagai usaha mengemudi dan mengangkat semula martabat serta kegemilangan negara di persada dunia, Yadim merupakan salah satu pertubuhan yang menyokong dan mendukung konsep berkenaan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘madani’ membawa erti maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (masyarakat, generasi dan sebagainya).

Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menyuburkan medan dialog peradaban.

Matlamatnya untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati dan bersikap ihsan.

Konsep Malaysia Madani ini sangat sesuai bagi Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya. Ia juga meletakkan Islam pada kedudukan yang sangat istimewa.

Pada 3 Mei lalu, seramai 12 individu profesional berkelayakan dilantik oleh Anwar bagi tempoh dua tahun sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) baharu Yadim dalam memacu dan memperkasa inisiatif melestari gerakan dakwah badan tersebut.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naím Mokhtar.

Yadim kini diketuai gabungan mantap Yang Dipertua Yadim dengan berpengalaman luas dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah menjadi Timbalan Presiden Ikram, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang dakwah, tarbiah dan kebajikan iaitu Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dengan Timbalan Yang Dipertua yang merupakan tokoh akademik iaitu pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin.

Selain mereka, antara tokoh akademik lain yang turut dilantik sebagai ALPA ialah Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zuriati Ahmad Zukarnain daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan saya sendiri, Johari Yap daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Begitu juga mantan pensyarah UKM, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj yang aktif dalam hal berkaitan pembangunan wanita, keibubapaan, dan kekeluargaan dan merupakan pengasas serta pengarah Akademi Dr Har.

Selain itu, tokoh NGO dari Sabah, Sainuri Yahmin yang merupakan pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah dilantik bagi penggal kedua. Manakala wakil ALPA dari Sarawak, Alwi Morshidi merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hikmah, sebuah pertubuhan dakwah yang sangat aktif di Sarawak.

Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz yang merupakan presiden ABIM juga dilantik bagi mewakili golongan anak muda dan belia.

Tokoh agama dan aktivis masyarakat yang turut dilantik ialah Ustaz Bashir Mohamed Al-Azhari, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin dan Syamsul Maàrif Ismail.

Kesemua yang dilantik mewakili pelbagai golongan masyarakat serta mempunyai kemahiran, disiplin serta pengalaman mendalam dalam bidang masing-masing seperti pendidikan, khidmat masyarakat, dakwah, dan keagamaan.

Pengalaman ALPA yang baharu dilantik ini diharapkan akan membantu menggerakkan Yadim dalam menyebar nilai murni Islam dengan rahmah, sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara madani.

Sejak ditubuhkan, Yadim mengalami perubahan dan perkembangan dasar serta pendekatan, sesuai dengan peredaran masa, tanpa mengubah tujuan dan matlamat asalnya.

Yadim akan terus menggerakkan kegiatan dakwah dan kemasyarakatan dengan penuh keyakinan bagi mencapai visi dan misi sesuai dengan tuntutan syarak, di samping bersedia menghadapi cabaran-cabaran globalisasi yang semakin hebat.

*Dr Johari Yap ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim dan Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM)

Klik di sini untuk terus membaca