STOCKHOLM - Nama Salwan Sabah Matti Momika mendapat perhatian komuniti antarabangsa berikutan tindakan biadab lelaki itu mencemari kesucian al-Quran ketika umat Islam sedang sibuk meraikan Aidiladha pada Rabu lalu.
Kejadian yang menjadi tular itu sekali lagi menggemparkan Stockholm dan telah mengundang kemarahan Turkiye yang masih belum memberi lampu hijau kepada Sweden untuk menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Provokasi melampau Salwan bersama seorang lagi lelaki ekstremis di luar sebuah masjid utama di ibu kota turut disaksikan kira-kira 200 individu yang mana sebahagian daripada mereka melaungkan ALLAH Maha Besar sebagai membantah perbuatan melampaui batas tersebut.
Paling mengejutkan tindakan itu mendapat kebenaran pihak berkuasa iaitu kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Rayuan menolak larangan polis terhadap protes mahu membakar al-Quran yang telah mencetuskan gelombang kemarahan Muslim di seluruh dunia sebelum ini.
"Saya mahu menyatakan pendapat saya tentang al-Quran. Saya mahu mengoyak dan membakar kitab itu,” kata pelarian Iraq berusia 37 tahun itu menerusi permohonan yang dikemukakan olehnya.
Salwan juga memberi alasan perbuatan itu kononnya bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan kebebasan bersuara dan toleransi agama.
"Al-Quran adalah kitab paling ‘berbahaya’ kepada umat manusia,” ujarnya yang jelas mempamerkan sentimen anti-Islam secara terang-terangan.
Sebelum ini, Salwan pernah membuat permohonan sama untuk mengikut tindakan biadab ahli politik berhaluan kanan, Stram Kurs Rasmus Paludan yang melakukan perbuatan serupa menghina al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm pada Januari lalu.
Perbuatannya sangat keterlaluan dan menyinggung perasaan 1.8 bilion Muslim.
Salwan dengan selamba mengoyak dan memijak kitab suci itu malah meletakkan kepingan daging khinzir sebelum membakarnya sambil mengibarkan bendera kebangsaan Sweden.
Wakil masjid itu turut menzahirkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa sewenang-wenangnya memberikan kebenaran terhadap tindakan melampau sedemikian ketika sambutan Hari Raya Korban.
"Polis tidak menghiraukan gesaan kami agar tidak mengadakan protes Islamofobia tersebut di kawasan masjid,” kata Imam Mahmoud Khalfi.
LELAKI ATEIS MISTERI
Siapa sebenarnya Salwan dan bagaimana dia begitu berani mencanangkan kepada pengguna media sosial tentang rancangan keterlaluan itu secara meluas?
Individu tersebut dikatakan berhijrah ke Sweden dari Iraq beberapa tahun lalu dan menetap di perbandaran Jarna di Södertälje untuk memulakan kehidupan baharu.
Menerusi beberapa ciapan di Twitter, beberapa pengguna mendakwa Salwan pernah menyertai kumpulan militia yang melakukan pembunuhan kejam ke atas pengikut Sunni di Syria dan Iraq.
Latar belakang lelaki kontroversi itu turut mencetuskan tanda tanya kerana sukar menentukan agama dan kepercayaannya yang sebenar.
Hal ini kerana fokus utama Salwan adalah untuk memperjuangkan kebebasan bersuara dan menyatakan pendapatnya berbanding mempromosikan ideologi agama tertentu.
Berdasarkan namanya yang dipaparkan di media, banyak pihak percaya dia berketurunan Arab walaupun maklumat tentang ibu bapa atau keluarganya tidak diketahui.
Salwan pernah mengakui dirinya sebagai ateis dan merupakan pengkritik lantang agama Islam.
Tindakan biadabnya adalah berdasarkan pandangannya terhadap Islam dan kononnya dia bukan memusuhi Muslim sebaliknya hanya menentang pemikiran golongan itu.
Sebelum kontroversi menghimpit dirinya, Salwan dikatakan lebih selesa untuk hidup secara low profile di Stockholm.
TIDAK SERIK
Walaupun menerima ribuan ugutan bunuh, Salwan masih tidak serik dan merancang mahu mengulangi tindakan provokasi itu.
"Dalam tempoh 10 hari, saya akan membakar bendera kebangsaan Iraq dan al-Quran di hadapan Kedutaan Baghdad di Stockholm,” ujarnya pada Jumaat.
Pihak berkuasa dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap provokasi melampau yang dilakukannya meskipun mereka mengeluarkan permit di bawah undang-undang kebebasan bersuara.
Salwan menafikan perbuatannya satu bentuk jenayah kebencian atau tindakan yang menyinggung perasaan kumpulan etnik lain yang merujuk kepada komuniti Muslim.
"Terserah kepada polis untuk menyiasat. Ia mungkin tindakan yang salah atau sebaliknya,” katanya dengan angkuh sambil menambah keputusan akhir hanya akan diputuskan oleh mahkamah.
Tindakan keterlaluannya telah mencetuskan siri protes, namun bantahan sedemikian tidak menghalangnya untuk meneruskan matlamatnya sebagai pentaasub Islamofobia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca