SEPERTI masa yang kita sedia maklum, pada ketika ini kita sedang berada dalam satu keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Dalam konteks negara kita sebagai contoh, ringgit telah mengalami penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023.
Prestasi pasaran saham Malaysia pula adalah kedua terburuk di rantau ini selepas Thailand sebaik berakhirnya separuh pertama 2023 dengan indeks petunjuk utama, FBM KLCI merosot hampir lapan peratus dalam tempoh enam bulan.
Sebelum ini, pelabur asing juga secara berturut-turut bertindak menjual saham tempatan.
Disebabkan oleh prestasi ringgit ini maka ia amat berpotensi memberi risiko kepada peningkatan harga barangan khususnya melibatkan barangan import.
Malaysia sebenarnya amat terdedah kepada isu ini lebih-lebih lagi kebergantungan Malaysia terhadap barangan import terutamanya bekalan makanan amat tinggi.
Mengikut laporan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus.
Terbaharu, sebagai contoh, harga beras import juga berlaku peningkatan harga kesan daripada prestasi ringgit.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan bahawa harga beras putih tempatan tidak mengalami sebarang kenaikan.
Ke hadapan, kita berpotensi menyaksikan lebih banyak lagi barangan import akan naik harga termasuk harga ubat yang diimport disebabkan antara lain oleh prestasi ringgit itu sendiri.
Dengan kenaikan lebih banyak harga barangan import ini terutamanya barangan yang mana industri bergantung sepenuhnya daripada negara lain, maka ia berpotensi memberikan kesan kepada kemerosotan kuasa membeli oleh pengguna dan seterusnya secara tidak langsung memberikan kesan terhadap pertumbuhan ekonomi domestik yang berpotensi akan terjejas akibat aliran wang di pasaran yang berkurangan.
Dalam erti kata lain, apabila kuasa membeli pengguna berkurangan maka ia juga akan menjejaskan industri terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk bernafas disebabkan oleh sebahagian PMKS bergantung kepada perbelanjaan pengguna tempatan yang terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.
Jika dilihat beberapa tinjauan yang telah dilaksanakan sebelum ini yang telah dilaporkan oleh media juga menunjukkan trend kemerosotan jumlah pelanggan gerai makan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Penulis juga sempat berkunjung di beberapa gerai makan di Selangor dan sempat berbual dengan peniaga gerai makanan yang memaklumkan berlakunya pengurangan ketara pelanggan sehingga ada antaranya berkurangan sehingga 50 peratus.
Walaupun trend ini tidak semestinya berlaku di semua gerai makan, namun trend ini sememangnya berlaku di sebahagian gerai makanan disebabkan oleh kuasa membeli pengguna berkurangan.
Trend yang sama juga turut berlaku di Perak apabila penulis pulang ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak dan bertanya kepada beberapa sahabat lama yang berniaga gerai makanan.
Mereka turut menyatakan perkara yang sama iaitu memperoleh pendapatan yang berkurangan kesan daripada berkurangnya pelanggan yang sebahagiannya terpaksa berjimat disebabkan kekangan kewangan akibat daripada kenaikan kos sara hidup dan harga barangan yang tidak seimbang dengan gaji yang diperoleh.
Oleh yang demikian, pertamanya terdapat keperluan yang utama untuk tidak menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR). Sebarang kenaikan OPR dalam masa terdekat akan memberikan lebih banyak tekanan kepada peniaga dan pengguna yang akan mengakibatkan keadaan menjadi semakin rumit.
Kenaikan OPR perlu dihentikan pada ketika ini dan keduanya sudah sampai masanya sebagaimana yang penulis sering utarakan sebelum ini untuk dilaksanakan kenaikan kadar gaji yang bersesuaian untuk penjawat awam dan pekerja sektor swasta dengan kadar segera agar ianya dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang naik pada ketika ini.
Dengan kenaikan kadar gaji ini maka ia merupakan serampang dua mata iaitu kuasa membeli pengguna dapat dipertingkatkan yang mana ianya tentu sekali bukan hanya dapat membantu keselesaan kehidupan seharian isi rumah pekerja di sektor awam dan swasta bahkan dapat membantu PMKS untuk terus bernafas melalui peningkatan perbelanjaan penting isi rumah hasil daripada kenaikan kadar gaji tersebut.
Semasa berada di Teluk Intan baru-baru ini, sempat berbual dan bertanyakan khabar sahabat handai yang sama sekolah dengan sekolah kesayangan penulis iaitu SMK Horley Methodist, Teluk Intan yang ada antaranya sudah lama tidak bersua. Ada sahabat sekolah dan kelas yang sama iaitu Kelas 5 Sains 1 sudah hampir 25 tahun tidak bersua.
Sekiranya ditakdirkan bersua, tentu sekali masing-masing akan mengakui pendapatan isi rumah keluarga pada ketika itu berbanding kos sara hidup dan harga barangan tidak sebagaimana kadar gaji yang diterima pada ketika ini yang tidak seimbang jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan yang naik mendadak.
Justeru, adalah amat wajar untuk ditingkatkan gaji penjawat awam dan pekerja di sektor swasta yang bersesuaian dengan kadar segera sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pada ketika ini.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca