SHAH ALAM - Tukaran wang dolar Singapura kepada ringgit antara tertinggi dicatatkan selepas mata wang Malaysia merosot ke paras terendah ketika ini. Pengurup wang, Datuk Dr Anvar Hussain Rahumathullah berkata, kesempatan itu diambil... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tukaran wang dolar Singapura kepada ringgit antara tertinggi dicatatkan selepas mata wang Malaysia merosot ke paras terendah ketika ini.

Pengurup wang, Datuk Dr Anvar Hussain Rahumathullah berkata, kesempatan itu diambil penduduk negara jiran tersebut bagi membolehkan mereka berbelanja lebih besar.

"Rakyat Singapura antara yang teramai berkunjung dan berbelanja di Malaysia. Jadi, apabila ringgit merosot, ia memberi kelebihan besar kepada mereka.

Anvar Hussain

"Selain itu, baht Thailand menunjukkan tukaran yang tinggi ketika ini dan faktornya juga sama dengan rakyat Singapura,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengulas isu kemerosotan nilai ringgit.

Sinar Ahad melaporkan, ringgit merekodkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama tahun 2023, sekali gus mendahului kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia, manakala ekuiti Malaysia dan Thailand adalah yang terburuk dalam pasaran campuran.

Memetik laporan Reuters, berdasarkan rekod pada Jumaat, kebanyakan mata wang Asia pulih daripada kerugian awal dengan peso Filipina dan baht Thailand mendahului peningkatan serta masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus.

Laporan muka depan dan keratan akhbar Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Anvar Hussain berkata, usaha segera perlu dilaksanakan untuk memulihkan nilai ringgit bagi memastikan mata wang Malaysia itu kembali stabil.

Katanya, kemerosotan berterusan nilai ringgit memberi kesan besar kepada negara, selain dibimbangi tidak lagi menjadi pilihan untuk tukaran ke mata wang asing.

"Bagi kami di pihak pengurup wang, situasi berlaku ini bagus tetapi dalam masa sama kita bimbang dengan keadaan yang berlaku.

"Jadi, adalah besar harapan kami khususnya rakyat Malaysia untuk melihat nilai ringgit kembali kukuh dan bersaing dengan mata wang serantau yang lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tukaran mata wang asing ke ringgit belum mencapai tahap luar biasa atau membimbangkan lagi.

Mohamed Riyazullah
Mohamed Riyazullah
Mohamed Riyazullah

Seorang lagi pengurup wang, Mohamed Riyazullah Riyaz Khan berkata, kejatuhan nilai ringgit merupakan perkara biasa dan ia dijangka kembali pulih secara beransur-ansur menjelang Ogos ini.

Katanya, situasi di premis miliknya juga tidak menunjukkan peningkatan ketara melibatkan tukaran mata wang asing ke ringgit.

"Seperti kebiasaan, tukaran dolar Singapura dan bhat mencatatkan peningkatan apabila nilai ringgit merosot. Keadaan ini didorong kedudukan kedua-dua negara yang berjiran dengan Malaysia,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca