ISU persempadanan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau perlu dipandang serius kerana ia membabitkan hal keselamatan dan kedaulatan negara.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, DATUK PANDAK AHMAD, perairan Selat Tebrau cukup penting kerana menjadi kawasan mata pencarian golongan nelayan tempatan.
Tidak mahu insiden nelayan di kawasannya dihalau pihak berkuasa Singapura pada Oktober tahun lalu berulang, Pandak menggunakan saluran di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan agar kejadian tersebut tidak berulang.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN bersama beliau membincangkan agenda penting yang diperjuangkan demi membela kebajikan rakyat.
SINAR HARIAN: Setelah diberi mandat sebagai ADUN Kota Iskandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lalu, YB cukup lantang menyuarakan isu persempadan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau. Apakah kepentingan Selat Tebrau ini kepada DUN Kota Iskandar?
PANDAK: Saya telah bawa isu persempadanan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lepas.
Saya difahamkan terdapat lebih 2,000 nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan membabitkan kawasan di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri termasuk DUN Kota Iskandar yang mencari rezeki di kawasan perairan Selat Tebrau.
Di kawasan DUN Kota Iskandar, terdapat 12 perkampungan nelayan antaranya Kampung Pendas, Kampung Tiram Duku, Tanjung Kupang, Kampung Dapur Arang, Kampung Pekajang Pok dan Kampung Wawasan.
Sekurang-kurangnya terdapat 700 nelayan di sini bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan tidak menentu.
Kejadian pihak berkuasa Singapura yang didakwa menghalau nelayan tempatan kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua, Iskandar Puteri pada Oktober lalu, seharusnya membuka mata semua pihak betapa seriusnya isu persempadanan ini.
Beberapa nelayan tempatan yang terbabit dalam pertengkaran dengan pihak berkuasa Singapura itu mendakwa, dihamburkan kata-kata kesat dan penghinaan oleh pihak berkuasa Singapura.
Selepas kenyataan dibuat mengenai insiden tersebut, perbincangan diadakan bersama pihak konsulat Singapura. Saya minta pihak berkuasa Singapura yang bertanggungjawab ke atas perairan menggunakan pendekatan lebih berhemah ke atas nelayan tempatan.
Sudah lama nelayan tempatan berdepan isu seumpama ini, mungkin lebih 10 tahun. Hakikatnya, nelayan yang kebanyakannya turun temurun melakukan pekerjaan tersebut mahir dengan perairan negara di Selat Tebrau.
Mereka ini sudah tahu di mana lokasi hendak menjaring ikan, udang atau menggunakan bubu.
Apakah tindakan yang telah dilakukan YB terhadap isu persempadanan perairan terutama di Selat Tebrau?
Isu ini tidak boleh disenyapkan begitu sahaja. Saya harap Selat Tebrau tidak jadi Selat Temasik.
Bukan sahaja di peringat DUN, malah saya juga ada mengutus surat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika itu, selepas insiden berkenaan berlaku.
Dalam Sidang DUN pada Disember tahun lalu, saya minta agar kerajaan negeri mempertimbangkan langkah melakukan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau.
Isu keselamatan dan kedaulatan negara harus diberi perhatian dan tidak harus dikompromi kerana jika tidak dipantau dan dijaga dengan baik, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kita akan kehilangan hak.
Pengawasan pihak berkuasa Malaysia perlu dipertingkatkan di kawasan Selat Tebrau.
Selepas lebih setahun bergelar ADUN Kota Iskandar, apa yang akan difokuskan untuk rakyat di sini?
DUN Kota Iskandar yang terletak dalam Parlimen Iskandar Puteri memiliki jumlah pengundi paling ramai di Johor iaitu 120,000 pengundi.
Berjiran dengan Johor Bahru, kawasan DUN Kota Iskandar pesat membangun sebagai kawasan kediaman, pelaburan, kesihatan dan pelancongan yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan penduduk seramai 310,000 orang.
Malah, laluan keluar masuk Second Link Malaysia Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) juga terletak di DUN Kota Iskandar.
Bagaimanapun kepesatan pembangunan ini tidak seiring dengan infrastruktur awam utama iaitu kesihatan, pendidikan dan perumahan.
Dari segi perumahan, di Kota Iskandar mempunyai banyak kawasan perumahan elit antaranya pangsapuri mewah yang berharga sekitar RM500,000.
Keadaan ini menyebabkan generasi muda terutama anak Melayu sukar membeli rumah di kawasan Kota Iskandar ditambah dengan kekurangan rumah kos sederhana sekitar RM150,000.
Disebabkan itu, saya gesa kerajaan melihat tanah yang sedia ada di kawasan Kota Iskandar untuk dibina rumah mampu milik kerana hakikatnya ramai golongan B40 di sini memerlukan kediaman.
Kota Iskandar ini sama seperti Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Putrajaya lengkap dengan kemudahan awam termasuk mempunyai sebuah hospital, tetapi Kota Iskandar tiada hospital awam.
Kota Iskandar cuma ada hospital swasta untuk mereka yang mampu. Bagaimana pula dengan orang kampung dan mereka yang tidak berkemampuan.
Begitu juga dengan klinik kesihatan, keadaannya agak daif dengan bangunan lama.
Dari segi pendidikan pula, saya melihat kurang tempat untuk anak muda melanjutkan pengajian di Kota Iskandar, termasuk kelas Tingkatan Enam dan juga kolej-kolej kemahiran.
Begitu juga dengan kepadatan murid dan pelajar di sekolah-sekolah rendah, menengah dan agama di Kota Iskandar yang memerlukan penyelesaian segera agar sistem pengajaran dan pembelajaran lebih selesa dapat diwujudkan.
Tindakan YB untuk bantu golongan berpendapatan rendah terutama nelayan?
Hakikatnya Kota Iskandar mempunyai potensi ekonomi dan pelaburan cukup besar yang berjaya menarik ramai golongan berhijrah mencari rezeki dan membina keluarga, serta kehidupan di sini.
Begitu juga dengan golongan nelayan, ada golongan anak muda yang boleh dibantu menerusi bidang ekonomi baharu seperti perniagaan.
Kawasan Sungai Melayu yang masih kaya dengan keindahan paya bakau boleh menjadi tarikan kepada aktiviti pelancongan.
Tidak sekadar bergantung kepada tangkapan ikan dan udang semata-mata, nelayan boleh menjana pendapatan dengan aktiviti lain seperti restoran dan menjadi pemandu pelancong.
PROFIL
Nama: Datuk Pandak Ahmad
Umur: 60
Asal: Kampung Sungai Melayu Johor Bahru
Status: Berkahwin dan memiliki tiga orang anak
Kelulusan: SPM dari Maktab Sultan Abu Bakar
Jawatan:
Bekas Setiausaha Kerajaan UMNO Johor
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah
Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia
Presiden Memanah Negeri Johor
Ahli Lembaga Perbadanan Stadium Negeri Johor
Klik di sini untuk terus membaca