SHAH ALAM - Kerajaan disaran menubuhkan tabung endowmen nasional bagi menjana pendapatan negara yang boleh digunakan dalam skim perlindungan sosial. Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menubuhkan tabung endowmen nasional bagi menjana pendapatan negara yang boleh digunakan dalam skim perlindungan sosial.

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Malaysia seharusnya mengikut jejak langkah Norway yang telah mewujudkan tabung berkenaan hingga berjaya membiayai sehingga 30 peratus belanjawan kerajaan setiap tahun.

"Sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif memodalkan aset negara berjumlah lebih RM1 trilion itu ke dalam satu tabung endowmen nasional yang akan mewujudkan pendapatan tahunan.

"Tabung berkenaan boleh digunakan untuk skim perlindungan sosial yang mampu menolong kumpulan memerlukan dalam negara.

"Seperti di Norway, bila mereka jumpa khazanah (seperti) minyak, kerajaan negara itu terus tubuhkan Endowmen Fund atau All Trust Fund yang kini mampu membiayai sehingga 30 peratus belanjawan kerajaan setiap tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor memaklumkan, aset negara yang sudah dinilai lebih RM1 trilion berdasarkan hasil penilaian perakaunan akruan yang dilaksanakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bersama Jabatan Akauntan Negara sejak 2013.Aset berkenaan membabitkan harta kerajaan yang terdiri daripada bangunan dan tanah di seluruh negara.

Sementara itu, Barjoyai berkata, kerajaan tidak perlu mengumumkan aset berkenaan sebagai belanjawan supaya negara tidak membuat pinjaman untuk menampung perbelanjaan.

"Masalah kita adalah apabila ia dimasukkan dalam perbelanjaan tahunan, kerajaan terpaksa mengetepikan RM60 bilion hingga RM80 bilion untuk belanjawan sosial, sedangkan kerajaan mempunyai matlamat untuk mengurus ekonomi dengan cekap.

"Kalau boleh kerajaan tidak mahu meminjam untuk mengimbangkan belanjawan. Sepatutnya kerajaan perlu wujudkan satu sumber sendiri untuk program keselamatan sosial,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca