SHAH ALAM - Seorang pemancing tempatan di Terengganu mendedahkan dia hampir menjadi korban kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman empat tahun lalu.
Menceritakan detik cemas itu, Mohamad Azri Mohamad Rafi, 33, memberitahu, kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata sewaktu dia sedang memancing di jeram berkenaan.
"Memandangkan saya sudah 20 tahun aktif memancing, sedikit sebanyak saya tahu tanda-tanda kemungkinan kepala air akan berlaku, namun pada ketika itu saya tidak menyangka air deras turun dengan begitu cepat iaitu kurang 30 minit.
"Ketika itu saya menyedari keadaan sungai mula berubah daripada tenang kepada deras dan arus juga membawa sampah sarap seperti daun kering serta ranting kayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohamad Azri, sebaik sahaja mendengar deruan arus sungai yang begitu kuat, dia bersama dua rakan lain bergegas naik ke tebing untuk menyelamatkan diri.
"Ini bukan kali pertama saya berhadapan dengan kejadian kepala air iaitu di Sungai Cerul dekat Kemaman juga tetapi peristiwa di Jeram Air Putih lebih menakutkan dan tidak dijangka.
"Selalunya kepala air akan ambil masa untuk tiba di sesuatu kawasan dan mengikut pengalaman saya ia boleh ambil masa selama satu jam.
"Tetapi kejadian yang menimpa saya di Jeram Air Putih berlaku kurang dari 30 minit selepas tanda-tanda awal kepala air berlaku, arus deras terus memenuhi tebing sungai dan air pada ketika itu juga naik setinggi dua hingga tiga meter,” jelasnya.
Ujarnya yang merupakan pemancing sepenuh masa, situasi itu memberi kesedaran bahawa bencana alam terutama tragedi kepala air tidak boleh dijangka.
Mohamad Azri mengingatkan orang ramai untuk meneliti beberapa aspek utama sebelum berkelah atau berkhemah di kawasan berhampiran sungai.
Jelasnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah cuaca, arus sungai dan kejernihan air.
"Elak diri daripada melakukan aktiviti air sekiranya hujan di tempat perkelahan atau hulu sungai kerana keadaan ini berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian itu (kepala air).
"Bukan itu sahaja, orang ramai diingatkan untuk naik ke tebing sekiranya air sungai bertukar keruh dan arus mula membawa daun kering serta ranting kayu,” nasihat Mohammad Azri yang merupakan seorang pencipta kandungan aktiviti memancing dan popular dengan nama akaun YouTube @iyaayie9071.
Klik di sini untuk terus membaca