PARIS - Nenek kepada remaja yang mati ditembak polis semasa pemeriksaan trafik di pinggir Paris baru-baru ini merayu kepada perusuh supaya menghentikan protes ganas yang telah berlanjutan selama lima malam berturut-turut.
Nahel Merzouk ditembak di Nanterre pada Selasa lalu dan kematian remaja berusia 17 tahun itu membangkitkan semula tuduhan lama oleh masyarakat bandar miskin dan etnik minoriti mengenai keganasan serta sikap perkauman anggota polis.
Remaja tersebut berketurunan Algeria dan Maghribi, komuniti pendatang yang kerap dikaitkan dengan jenayah selain diskriminasi pihak berkuasa di Perancis.
Kematiannya mencetuskan protes besar-besaran di beberapa buah bandar utama di Perancis, menyaksikan perusuh bertindak menggeledah berpuluh-puluh kedai dan bangunan awam serta membakar kira-kira 2,000 kenderaan sejak rusuhan bermula.
"Hentikannya! Saya sudah penat. Keganasan ini tidak akan mengembalikan nyawa Nahel.
"Cucu saya sudah tiada, jadi berhentilah merusuh,” ujar Nadia.
Rayuan warga emas itu dibuat ketika rusuhan semakin reda, namun polis terus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Polis pada mulanya melaporkan seorang anggotanya menembak remaja itu selepas didakwa memandu secara melulu ke arahnya, namun versi insiden itu bercanggah dengan video yang tersebar di media sosial.
Sebuah video menunjukkan dua anggota polis berdiri di tepi kereta yang tidak bergerak dengan seorang mengacukan senjata ke arah pemandunya.
Ibu kepada Nahel, Mounia menyifatkan insiden itu bermotifkan perkauman, namun katanya, dia tidak menyimpan dendam terhadap pasukan polis.
Suspek iaitu pegawai berusia 38 tahun kini ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh dengan sengaja. - AFP Paris
Klik di sini untuk terus membaca