MALAYSIA adalah antara beberapa negara unik pada tahun 1980-an apabila ia yang sebelumnya dikenali sebagai sebuah negara pengguna sistem teknologi persenjataan Barat sejak dari merdeka, mula mendapatkan pesawat tempur buatan Rusia.
Kesinambungan ini diteruskan apabila ia memperoleh sistem kereta kebal utama dan pesawat tempur yang lebih berkemampuan, juga menggunakan teknologi dari blok negara sama.
Walaupun sistem diperoleh daripada teknologi negara blok Timur, ia turut menggunakan beberapa kelengkapan seperti sistem optik dan elektronik buatan negara Barat yang dipadankan dengan platform utama tersebut.
Peperangan di Ukraine adalah satu peluang kepada mereka yang diberi tanggungjawab untuk menilai dan membuat rumusan mengenai sistem dan teknologi terbaik untuk kegunaan angkatan tentera negara di masa hadapan.
Apakah benar bahawa sistem persenjataan negara Barat dan NATO adalah jauh lebih baik daripada teknologi bekas negara-negara Warsaw dan China. Atau apakah kita perlu melihat kepada teknologi negara atau blok baru seperti Turkiye dan Iran.
Pada Dialog Shangri-La yang diadakan seminggu selepas pameran LIMA 2023 lalu di Singapura, Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Ben Wallace menyatakan negara-negara serantau perlu ‘memulangkan’ semula semua peralatan sistem buatan Rusia yang dimiliki mereka kerana ia tidak mampu berfungsi sepertimana sepatutnya!
Walaupun gesaan ini dibuat dalam nada berseloroh, namun ia mungkin membayangkan iktibar yang diambil daripada konflik di Ukraine, apabila Rusia yang merupakan kuasa dunia dilihat gagal dan masih bergelut untuk menewaskan musuhnya.
Pandangan ini sebenarnya adalah sesuatu yang subjektif. Ini kerana penilaian sebenar tidak boleh dilakukan dengan melihat kepada keberkesanan sistem persenjataan yang digunakan kedua-dua pihak sahaja. Faktor-faktor lain turut mempengaruhi senario medan tempur moden hari ini perlu juga diambil kira.
Contohnya, walaupun Ukraine adalah sebuah negara kerdil berbanding Rusia, ia mendapat bantuan berupa sistem kelengkapan moden yang bukan sembarangan daripada negara-negara sekutu NATO.
Sememangnya Rusia berhadapan pelbagai kesukaran untuk menamatkan perang di Ukraine dan antara sebab utama adalah bantuan kelengkapan yang mencurah dari negara-negara Barat.
Umpamanya, ia memperoleh 230 buah kereta kebal, termasuk jenis M1 buatan Amerika, Challenger 2 dari United Kingdom, AMX-10 RC dari Perancis dan juga Leopard 2 dari Jerman. Juga berjaya mendapatkan sejumlah pelancar roket berganda berkuasa tinggi HIMARS dengan jarak 80km, peluru berpandu kruis Storm Shadow yang mampu mencapai jarak sasaran 250km dan pelbagai lagi.
Pada Jun lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengeluarkan kenyataan bahawa tentera Rusia perlu mempertingkatkan kemampuan sistem persenjataannya jika mahu mencapai kemenangan.
Beliau juga mengakui Rusia kini tidak mempunyai kelengkapan moden mencukupi, namun pihak industri pertahanan serta angkatan tentera sedang giat membangunkan kelengkapan diperlukan dan yakin objektif tersebut akan dicapai.
Perkara ini membayangkan bahawa untuk tempoh masa beberapa tahun akan datang, atau mungkin sehingga konflik di Ukraine selesai, Rusia tidak lagi mampu menjadi antara negara pengeksport sistem persenjataan utama global seperti satu masa dahulu. Ini kerana kehendak penggunaan dalam negaranya sendiri hari ini tidak dapat dipenuhi.
Di pihak negara anggota NATO dan Amerika Syarikat pula, kebanjiran sistem persenjataan mereka ke Ukraine bertujuan dapat mengubah haluan di garis hadapan medan tempur dengan operasi serangan balas besar-besaran atau counter offensive.
Operasi serangan balas untuk menawan semula wilayah yang ditakluk Rusia dimulakan Ukraine pada penghujung Jun. Malangnya ia gagal mencapai objektif diharapkan.
Menurut Jeneral Mike Milley, Pengerusi Ketua Staff tentera Amerika Syarikat yang memantau keadaan, kemajuan di medan tempur Ukraine setelah bermulanya serangan balas adalah perlahan. Tentera Ukraine kadangkala mampu mara hanya satu kilometer atau kurang dalam tempoh masa beberapa hari.
Keadaan ini berlaku walaupun pemikir-pemikir ketenteraan NATO dan Amerika Syarikat ‘mencanang gong’ di serata dunia, bahawa senjata buatan Rusia mempunyai kualiti yang amat rendah dan tidak mampu menandingi senjata ciptaan negara Barat.
Logiknya jika benar, kenapa Amerika Syarikat dan NATO masih bergelut di Ukraine dan tewas di Afghanistan?
*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca