DALAM politik, umumnya kita sudah boleh meramal kemenangan satu-satu parti sebelum pilihan raya bermula. Ia biasanya disebut bandwagon effect.
Dengan hanya sekadar melihat bahasa tubuh masyarakat, kita boleh menjangkakan mereka menyokong siapa. Parti yang dijangka menang biasanya cenderung pula dipilih oleh pengundi, termasuklah mereka yang tidak ambil tahu hal politik.
Alasan untuk perkara ini mudah. Manusia tidak mahu membuat analisis secara mendalam. Apa yang dipilih majoriti orang, itulah yang dipilih.
Baru-baru ini di Turki, Recep Erdogan yang telah diramalkan kalah terpaksa melalui undian pusingan kedua pemilihan presiden. Walaupun telah menjadi presiden sejak 2014, beliau hampir tewas di tangan pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu.
Beliau gagal mendapat lebih 50 peratus undi pada pusingan pertama. Nasibnya baik, pesaingnya juga gagal melepasi 50 peratus undi.
Setelah melalui proses undian kali kedua pun, beliau hanya sekadar mendapat 52 peratus undi melayakkannya menjadi presiden.
Bandwagon effect ini menjadikan semua orang sepertinya sudah menjangka siapa yang menang, siapa yang kalah. Ia kemudian mempengaruhi pola pengundian.
Di masa dahulu, ketika pengaruh media cetak masih dikuasai pemerintah, kita akan selalu melihat bagaimana persepsi pengundi ‘diherotkan’ dengan gambar-gambar pemimpin yang dikelilingi ribuan manusia ketika mereka melakukan lawatan.
Semuanya ingin menunjukkan bahawa semua orang menyokong pemimpin tadi. Biasanya, bagi acara pembangkang pula, hanya ditunjukkan gambar beberapa orang pengunjung sahaja. Malah poster yang banyak juga boleh memberi isyarat siapa yang bakal menang.
Tapi dunia telah berubah. Di era media sosial ini, tak semudah itu ahli politik membeli undi penyokong. Orang ramai boleh membaca dan melihat semuanya di TikTok, YouTube, Facebook dan pelbagai media alternatif lain. Jadi cubaan mencipta kesan sokongan palsu ini mungkin tak bermanfaat lagi.
Yang mungkin ada ialah laskar siber yang cuba membangkitkan imej positif parti masing-masing. Tapi, dengan setiap pihak juga mempunyai kumpulan laskar siber masing-masing, proses mengherotkan maklumat agar berpihak kepada parti yang mereka sokong mungkin tak juga memberi kesan yang besar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, dengan tercetusnya krisis 1MDB, Pakatan Harapan (PH) mendapat manfaat besar daripada bandwagon effect. Semua orang percaya dengan memilih PH, skandal itu dapat diselesaikan.
PRU15 juga seperti diketahui parti yang bakal kalah. Kemenangan kini tak lagi ditentukan berapa ramai yang datang mendengar ceramah. Ia boleh ditentukan oleh sembang-sembang di kedai kopi sahaja.
Seperti yang diketahui umum, enam buah negeri telah membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri. Cuma kali ini, tak banyak fenomena untuk kita meramal siapa yang bakal menang dan siapa yang berpeluang kalah.
Begitu pun, dengan penjajaran semula politik, sepertinya Kerajaan Perpaduan mungkin perlu bekerja lebih teruk untuk mewajarkan kerjasama mereka. Ia mungkin menjadi senjata kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mencipta bandwagon effect yang memenangkan mereka khusus di negeri yang pengundi dominannya ialah orang Melayu.
Walaupun begitu, gabungan Kerajaan Perpaduan mungkin boleh memanfaatkan sedikit penguasaan mereka dalam Kerajaan Persekutuan.
Itu pun jika mereka mampu mengawal ahli politiknya daripada mengeluarkan kenyataan sumbang, misalnya ‘mendoakan musuh politik untuk cepat mati’ atau memberi amaran ‘polis akan datang ke rumah’. Kenyataan seperti itu tak akan banyak membantu.
Siapa yang bakal menang PRN yang menjelang ini? Menurut Abraham Lincoln: ‘Anda boleh berbohong kepada segelintir orang setiap masa, dan semua orang pada masa tertentu, tapi anda tak akan mampu berbohong semua orang pada setiap masa’. Mungkin inilah pesan untuk semua ahli politik yang bakal bertanding nanti.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca