[EKSKLUSIF] CYBERJAYA - Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar didapati semakin membimbangkan dengan bilangan pelajar yang mempunyai idea untuk membunuh diri didapati meningkat kepada 13.1 peratus pada 2022 membabitkan lebih 4,300 orang, berbanding 10 peratus pada lima tahun sebelumnya.
Ketua Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Dr Nurashikin Ibrahim berkata, Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 33,523 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun pada tahun lalu turut mendedahkan peningkatan peratusan mereka yang mempunyai tingkah laku merancang untuk membunuh diri.
Berdasarkan dapatan AHS, seramai 10 peratus mereka merancang untuk membunuh diri pada 2022, berbanding 7.3 peratus (2017) dan 6.4 peratus (2012).
Bukan itu sahaja, katanya, peratusan cubaan bunuh diri oleh golongan itu terus menunjukkan trend menaik dengan 9.5 peratus cuba membunuh diri pada tahun lalu berbanding 6.9 peratus pada 2017.
Masalah kemurungan dalam kalangan golongan tersebut juga meningkat daripada 17.7 peratus pada tahun 2012 kepada 18.3 peratus (2017) dan 26.9 peratus (2022).
"Selain itu, peratusan rasa sunyi dalam kalangan remaja juga naik hampir dua kali ganda kepada 16.2 peratus berbanding 9.3 peratus pada 2017,"" katanya kepada Sinar Harian.
Sebanyak 239 sekolah menengah dipilih secara rawak untuk menyertai kajian tersebut.
Menurut Dr Nurashikin, kajian tersebut memberi satu petunjuk kepada semua pihak bahawa perhatian serius perlu diberikan kepada isu kesihatan mental pelajar sekolah.
Menurutnya, penyakit mental kini berada di ranking kedua masalah kesihatan utama Malaysia selepas penyakit jantung dan ia ketara meningkat ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.
"Semasa pandemik Covid-19, masalah ini begitu menonjol apabila ramai yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan perubahan semasa yang akhirnya menjejaskan kesihatan mental mereka," katanya.
Ujar Dr Nurashikin, antara simptom awal gejala tersebut ialah kemurungan, kebimbangan, sedih berpanjangan selain hilang minat terhadap aktiviti harian.
"Secara asasnya simptom masalah kesihatan mental remaja ini adalah sama seperti golongan dewasa," ujar nya.
Dr Nurashikin berkata, punca masalah itu adalah berkait rapat dengan faktor psikososial, sosioekonomi, budaya dan persekitaran, kemiskinan selain harapan tinggi ibu bapa terhadap pencapaian akademik.
"Ibu bapa harus cakna dengan perubahan anak-anak bagi mengelakkan situasi lebih buruk," katanya.
Menurutnya, jika ada simptom tersebut, ibu bapa atau penjaga perlu membawa anak mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.
"Bawalah anak untuk mendapatkan penilaian lanjut dan perkhidmatan kesihatan mental di fasiliti kesihatan terdekat kerana tanpa rawatan bersesuaian, remaja cenderung ke arah tingkah laku berisiko seperti penyalahgunaan substans (bahan terlarang), alkohol dan merokok," katanya.
Menurutnya, seramai 200 kaunselor ditempatkan di klinik kesihatan (KK) di seluruh negara selain saringan kesihatan mental boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera.
Tambahnya, perkhidmatan kesihatan mental turut disediakan di 60 buah hospital, 1,161 KK dan 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Mentari di seluruh negara.
Rasa sunyi akibat tiada komunikasi dengan ibu bapa
Dr Nurashikin Ibrahim yang juga Pakar Kesihatan Awam berkata, peningkatan peratusan rasa sunyi dalam kalangan remaja, yang merupakan salah satu simptom penyakit mental, bukanlah disebabkan golongan itu tidak mempunyai kawan tetapi mungkin akibat tiada atau kurang komunikasi bersama ibu bapa.
"Apabila berasa sunyi, mereka memilih gajet dan rata-rata apabila terlebih menggunakan gajet, kita akan kurang berkomunikasi secara fizikal," katanya.
Tegas beliau, kemurungan sama ada di pelbagai peringkat usia perlu didiagnosis sebelum rawatan selanjutnya diberikan.
"Anda tidak boleh kata mengalami kemurungan, anxiety sehingga ia disahkan oleh pegawai perubatan bertauliah," ujar Dr Nurashikin.
Justeru tambahnya, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) bertindak sebagai peneraju koordinasi kebangsaan dalam aspek pencegahan dan advokasi, intervensi krisis, pembangunan modal insan dan perkongsian sumber kepakaran secara menyeluruh meliputi agensi awam, swasta dan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya, meningkatkan libat urus bersama agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu mengurus kesihatan mental dalam kalangan pelajar terbabit.
"Antara program yang dijalankan adalah Minda Sihat Sekolah, Ekspresi Remaja Lestari selain Program Siswa Sihat di peringkat universiti. Kita juga ada perkhidmatan Klinik Mesra Remaja di klinik kesihatan kerajaan," katanya.
Menurutnya, NCEMH turut menjalankan kolaborasi dengan 52 NGO yang terlibat secara langsung dengan memperuntukkan dana.
"Kita juga melatih ketua-ketua komuniti untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka mengenai kesihatan mental sekali gus menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan," kata Dr Nurashikin.
TINGKAH LAKU PELAJAR CENDERUNG RAGUT NYAWA SENDIRI
Tingkah laku 2017 2022
Ada idea untuk bunuh diri 10% 13.1%
Merancang bunuh diri 7.3% 10%
Percubaan bunuh diri 6.9% 9.5%
Mengalami masalah murung 18.3% 26.9%
Rasa sunyi 9.3% 16.2%
Sumber: Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum KKM 2017 & 2022
Simptom awal
- Kemurungan, kebimbangan, sedih berpanjangan
- Mengasingkan diri dan bersendirian lebih kerap
- Sukar memberikan tumpuan terhadap pelajaran
- Hilang minat terhadap persekitaran manakala produktiviti menurun
- Perubahan tingkah laku seperti cepat marah, ‘temper tantrum’, putus harapan dan mencederakan diri
Punca
Masalah psikososial, sosioekonomi, budaya dan persekitaran, kemiskinan selain harapan tinggi ibu bapa terhadap pencapaian akademik
Bantuan
- Hubungi talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental KKM, Talian HEAL 15555 untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan emosi dan bantuan awal psikologi dari dari 8 pagi hingga 12 tengah malam. Layari juga www.moh.gov.my dan http://moh.gov.my/ncemh.
Klik di sini untuk terus membaca