SHAH ALAM - Peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dipengaruhi beberapa faktor antaranya tekanan akademik, penggunaan media sosial tidak terkawal, masalah keluarga dan tekanan rakan sebaya.
Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr Rozanizam Zakaria berkata, ramai dalam kalangan mereka menghadapi persaingan akademik yang sengit, termasuk jangkaan yang tinggi daripada orang sekeliling sehingga membawa kepada tekanan prestasi dan beban pelajaran yang berlebihan.
Ujar beliau, tekanan untuk cemerlang dalam akademik boleh menyumbang kepada stres, kebimbangan, dan kemurungan.
"Antara kesan negatif termasuk buli siber, perbandingan sosial dengan individu lain dalam media sosial dan perasaan serba tidak cukup,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Rozanizam juga menambah, persekitaran sosial sama ada dalam keluarga atau rakan sebaya mendorong kepada peningkatan masalah berkenaan dalam diri masing-masing.
Kata beliau, tidak terkecuali faktor perubahan fizikal dan hormon turut mempengaruhi kesihatan mental sedia ada dalam diri mereka.
"Selain itu dinamik sosioekonomi juga boleh mempengaruhi seperti isu jurang ketidaksamaan sosial, diskriminasi dan kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, semuanya boleh menyumbang kepada peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja,” ulas beliau.
Sementara itu, pakar psikologi, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, tidak dinafikan, salah satu punca lain juga adalah terjebak dengan perkara yang tidak sewajarnya sewaktu tempoh pembelajaran seperti percintaan.
"Dalam usia sebegini, rasa ingin mencuba sememangnya bergejolak dalam kalangan jiwa para remaja. Namun, tanpa pemikiran yang matang, ia menjurus kepada natijah yang salah seperti keterlanjuran dan sebagainya.
"Perkara itu akhirnya membawa kepada masalah lain yang akhirnya membuatkan mereka ditimpa kemurungan,” katanya.
Ibu bapa bercerai antara punca tekanan remaja
Dalam pada itu, pakar psikiatri mendedahkan kebanyakan remaja yang mempunyai keinginan untuk membunuh diri menerapkan tiga gejala psikologi iaitu berasakan diri tidak mempunyai harapan, bantuan dan nilai dalam kehidupan.
Menurut Ahli Komiti, Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Md Zin, kebanyakan kes remaja yang mempunyai kemahuan untuk mengakhiri kehidupan dengan membunuh diri adalah remaja yang berada dalam krisis emosi.
"Sebelum ini, ada kes yang mana pihak sekolah merujuk seorang pelajar yang menunjukkan perilaku membimbangkan seperti murung, gelisah, takut dan tidak mahu bersosial.
"Apabila pemeriksaan dijalankan, terdapat banyak sebab mereka bertindak sedemikian antaranya masalah keluarga, diri sendiri, personaliti, penyakit yang dihadapi dan pergaulan.
"Masalah yang dihadapi itu, dikumpul sedikit demi sedikit sehingga mereka berani melakukan perkara membahayakan diri kerana menurutnya tiada jalan keluar boleh dilakukan dan perkara terbaik pada ketika itu adalah membunuh diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar didapati semakin membimbangkan dengan bilangan pelajar yang mempunyai idea membunuh diri meningkat kepada 13.1 peratus berbanding lima tahun sebelumnya iaitu 10 peratus.
Mengulas lanjut, Ahmad Rostam menjelaskan punca peningkatan angka tersebut mungkin disebabkan oleh tiga faktor iaitu perkembangan media sosial, wabak Covid-19 dan masalah kekeluargaan.
Katanya, kini kebolehupayaan remaja untuk mendapatkan kandungan media sosial begitu mudah dan ramai pengguna begitu terbuka berkongsi tragedi negatif.
Menurut beliau, apabila kandungan tersebut dicapai oleh remaja yang mengalami krisis emosi, tidak mustahil mereka akan bertambah tertekan.
"Mereka ini masing-masing mempunyai masalah dan sedang mencari jalan keluar, namun disebabkan perkongsian itu, ia boleh mendorong kepada tingkah laku meniru yang mana boleh berakhir dengan tragedi (bunuh diri).
"Kalau diteliti semula pandemik Covid-19 telah mengubah cara kehidupan remaja kerana pada ketika itu, corak pembelajaran berubah secara dalam talian yang menyebabkan mereka terganggu,” ujarnya.
Tambah Ahmad Rostam, masalah institusi kekeluargaan seperti penceraian ibu bapa merupakan antara penyumbang kepada tekanan remaja sehingga mahu membunuh diri.
Klik di sini untuk terus membaca