SHAH ALAM - Pakar menyarankan kerajaan membuat pemetaan semula kawasan hotspot bencana mengikut lokaliti termasuk insiden terbaru kepala air yang berlaku di Kemaman, Terengganu pada Sabtu. Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar menyarankan kerajaan membuat pemetaan semula kawasan hotspot bencana mengikut lokaliti termasuk insiden terbaru kepala air yang berlaku di Kemaman, Terengganu pada Sabtu.

Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Ahmad Ismail, ini kerana lokasi tragedi di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih itu tidak tersenarai antara 5,496 kawasan di seluruh negara sebagai lokasi panas atau hotspot banjir pada tahun lalu biarpun ia telah meragut 10 nyawa.

Apabila proses ‘mapping’ atau menanda kawasan sudah dilakukan di lokasi sensitif tersebut, peringatan boleh diberikan kepada orang awam dengan lebih awal.

"Pemetaan semula boleh dilakukan dengan melihat keadaan muka bumi, kawasan yang kerap hujan serta pembukaan tanah apabila adanya pembangunan di sekitar kawasan itu.

"Saya yakin sudah ada tempat-tempat yang diberi amaran oleh pihak berkuasa dari awal. Namun, tidak dinafikan masih ada kawasan terpencil seperti di Kemaman yang perlu dikaji dengan lebih terperinci dan menyeluruh untuk mengelakkan insiden seumpama ini terjadi,” katanya kepada Sinar Premium.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Ahmad Ismail

Pada Oktober tahun lalu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilapor berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 186 kawasan berisiko kepala air termasuk 5,496 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.

186 lokasi berisiko berlakunya kepala air itu ditutup pada bulan November sehingga Januari lalu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga berkata, Jabatan Mineral dan Geosains sudah memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pada musim tengkujuh.

Menurut kajian daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada tahun 2022, Terengganu menghuni tangga kedua negeri tertinggi mempunyai lokasi hotspot banjir selepas Kelantan iaitu sebanyak 300 kawasan dan 28 kawasan dikenal pasti berada di daerah Kemaman sahaja.

Penanda aras

Dalam pada itu, Ahmad berkata, senarai hotspot bencana-bencana di Malaysia pada tahun lalu masih relevan dan boleh diguna pakai tetapi pemetaan perlu dikaji semula untuk menanda kawasan mengikut lokaliti.

"Penanda aras untuk menentukan risiko bencana adalah jenis tanah, cerun, kadar hujan yang tinggi serta kedudukan penempatan manusia berdekatan dengan kemungkinan aliran air itu berlaku. Itu sebab perlunya pemetaan mengikut lokaliti.

"Tanah tinggi tidak sama risikonya dengan tanah rendah. Contohnya, Gunung Jerai tidak ada aktiviti penebangan hutan tetapi terdapat bahagian-bahagian tertentu merupakan tanah persendirian yang diterokai untuk pertanian, berbeza dengan apa yang berlaku di Cameron Highland.

"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melihat perkara ini dengan serius kerana hanya mereka yang tahu lokaliti atau keadaan di daerah masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad berpandangan, pemetaan hotspot kepala air perlu dikaji secara menyeluruh dengan penglibatan semua pakar terlibat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang perlu ditanda.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu memanggil pakar-pakar yang terlibat di dalam mesyuarat untuk mengenal pasti lokasi-lokasi ‘panas’ kepala air yang sering terjadi.

"Ia perlu dikaji dengan teliti kerana pemetaan ini melibatkan banyak pihak seperti jabatan geologi, perhutanan, parit dan saliran.

"Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) adalah pilihan yang bagus kerana ia melibatkan banyak kombinasi seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan banyak lagi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca