KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa bahawa Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) mampu merampas dua negeri yang kini diperintah oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan perkara... Klik di sini untuk terus membaca

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa bahawa Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) mampu merampas dua negeri yang kini diperintah oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan perkara mengejutkan, malah realistik berdasarkan perkembangan politik tanah air.

Biarpun Perdana Menteri tidak menyebut negeri mana, namun penganalisis percaya dua negeri dimaksudkan Pengerusi PH merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ialah Terengganu dan Kedah, manakala Kelantan dijangka kekal di bawah pemerintahan Pas selepas PRN nanti.

Malah peluang BN-PH merampas Kedah dan Terengganu lebih cerah jika peratusan keluar mengundi rendah dan pengundi luar tidak pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN kali ini.Antara faktor lain kenapa PN boleh tumbang di Terengganu dan Kedah ialah kerana jumlah penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kurang berbanding penyokong akar umbi UMNO di dua negeri berkenaan.

Kelantan pula dijangka kekal diperintah PN selepas PRN kerana jumlah kekuatan Pas yang lebih ramai berbanding BN-PH, sekali gus menjadi kunci utama kenapa mereka tidak pernah tewas pilihan raya umum (PRU) selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Cik Siti Wang Kembang sejak lebih 32 tahun lalu.

Jadi tidak hairanlah, penganalisis meramalkan andai kata lebih 70 peratus pengundi luar menyokong BN seperti berlaku pada 2004 sekali pun, Kelantan tetap kekal sebagai kubu kuat Pas pada PRN nanti kerana logo bulan sudah lama terpahat di hati rakyatnya.

Menurut penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, beliau berpandangan koalisi BN-PH mampu merampas Terengganu dan Kedah jika pengundi muda dan atas pagar membuat pusingan-U dengan bertindak menyokong calon dan parti mewakili Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Malah katanya, jika dicampurkan secara mudah jumlah undi diperoleh BN-PH dalam PRU15 juga adalah lebih tinggi berbanding pengundi PN sekali gus memberikan kelebihan kepada mereka andai berlaku pertembungan dua penjuru pada PRN nanti.

"Jadi jika majoriti pengundi luar di Terengganu dan Kedah tidak balik mengundi atau peratusan kadar keluar mengundi rendah, maka ia sudah pasti memberi kelebihan kepada BN-PH merampas kembali pemerintahan Kedah dan Terengganu seperti mana berlaku dalam PRN Melaka dan Johor lalu,” katanya kepada Sinar Premium.

Mazlan berkata, antara isu yang bakal mempengaruhi pengundi di Terengganu dan Kedah untuk kembali menyokong BN-PH ialah soal tadbir urus tidak cekap, masalah ketiadaan projek pembangunan, isu bekalan air sering terputus dan tanah rizab Melayu.

Mazlan turut meramalkan koalisi BN-PH dijangka menang sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN marginal Melayu di Kelantan pada PRN akan datang.

Mazlan juga menjangkakan gandingan BN-PH dijangka mampu mengekalkan status quo kerajaan negeri dan menang lebih dua pertiga daripada majoriti kerusi DUN ditandingi mereka di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, antara faktor utama kemenangan BN-PH di Selangor adalah kerana demografi pengundi yang pelbagai kaum dengan UMNO mempunyai fix deposit lebih 20 peratus dalam kalangan orang Melayu.

Justeru, apabila UMNO bergabung dengan PH, maka peluang mereka untuk menang sebahagian besar daripada kerusi DUN ditandingi pada PRN akan meningkat sekali ganda.

"Biarpun bukan 100 peratus penyokong PH menyokong BN dan sebaliknya, ia membuka peluang cukup baik untuk koalisi berkenaan memenangi sesuatu kerusi berbanding pembangkang biarpun mungkin ada undi protes berpihak kepada PN dalam PRN nanti,” ujarnya.

Mengenai peluang PN di Selangor, Mazlan melihat koalisi politik itu boleh menang 15 kerusi majoriti Melayu di Selangor jika ramai penyokong UMNO dan pengundi bukan Melayu melakukan undi protes terhadap koalisi BN-PH.

"Senario yang berlaku semasa PRU15 lalu dengan PRN ini juga berbeza. Misalnya semasa PRU15 lalu, kita menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di setiap DUN dan Parlimen, namun PRN kali ini hanya dua penjuru antara PN dan BN-PH sahaja,” jelas beliau.

SinergiPenganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh pula berbeza pandangan peluang BN-PH merampas Terengganu dan Kedah agak sukar kecuali jika jentera pilihan raya kedua-dua parti mempunyai sinergi yang baik serta tidak melakukan sabotaj antara satu sama lain.

Beliau berkata, kedua-dua jentera BN-PH perlu bekerja keras bagi menarik sokongan orang muda dan pengundi atas pagar terutama orang Melayu supaya kembali menyokong mereka pada PRN nanti.

Tambahan pula, Wan Hashim menegaskan, Kerajaan Madani pimpinan Anwar belum berjaya memenangi hati dan nurani orang Melayu menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi.

"Saya rasa peluang BN-PH mempertahankan kerusi DUN dimenangi mereka dalam PRN sebelum ini agak cerah, namun jika mereka mahu merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dan Terengganu agak sukar.

"Jadi saya berpandangan kenyataan Anwar hanya sekadar untuk menyedapkan hati pengundi dan jentera parti menjelang PRN yang dijangka berlangsung pada awal bulan depan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca