SHAH ALAM - Penganalisis politik menjangkakan pertengahan Ogos adalah tempoh sesuai untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) susulan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, tempoh itu masih berada dalam lingkungan 60 hari selepas DUN keenam-enam negeri tersebut dibubarkan.
"Ia juga memberi ruang secukupnya kepada SPR membuat persiapan sebelum hari penamaan calon serta memberi tempoh kempen sekitar 14 hari sebelum hari pengundian,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas hari ini, bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN.
Menurut Mohd Yusri, pengundian pada hari cuti seperti Sabtu adalah pilihan terbaik kerana majoriti bercuti pada hari itu kecuali sebahagian sektor swasta, sekali gus memudahkan pemilih keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
Ditanya tentang ‘faktor X’ pada PRN enam negeri itu, Mohd Yusri berkata, ia bakal ditentukan oleh tawaran dan corak kempen yang ditampilkan calon dan parti politik bertanding.
"Ini adalah PRN, sudah tentu fokus kempen adalah untuk menawarkan kerajaan negeri terbaik bagi rakyat.
"Buat masa ini, mood pengundi belum nampak jelas, namun diharapkan suasana kempen nanti akan banyak mempengaruhi kesediaan pemilih sama ada untuk keluar mengundi atau tidak,” ujarnya lagi.
Kebarangkalian mengundi
Jelas beliau, kadar keluar mengundi pada PRN kali ini akan menampakkan perbezaan mengikut demografi dan geografi."Bagi pengundi segmen Melayu-Muslim di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu) misalnya, kadar keluar mengundi mereka dijangka memberangsangkan berikutan politik agak dekat dengan kehidupan mereka dan pilihan raya dianggap seperti keraian.
"Sementara itu, pengundi etnik Cina di Pantai Barat dan Utara, biasanya mereka akan keluar mengundi apabila ada fokus tertentu,” katanya.
Tambah Mohd Yusri, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN Melaka serta PRN Johor, kadar keluar mengundi membabitkan kalangan etnik Cina dilihat agak rendah.
Namun dalam PRU15 lalu, katanya, kadar keluar mengundi mereka agak tinggi disebabkan pilihan raya itu sangat penting bagi menentukan kerajaan Persekutuan, sekali gus terkait langsung tentang masa depan negara dan peluang ekonomi.
"Dalam senario PRN ini khususnya di Selangor dan Pulau Pinang, saya menjangkakan kestabilan ekonomi negeri serta iklim perniagaan menjadi faktor penarik untuk etnik Cina keluar mengundi.
"Mereka akan keluar mengundi untuk memastikan kerajaan negeri boleh mengekalkan iklim ekonomi yang baik untuk perniagaan seperti menarik peluang pelaburan,” katanya.
Tentang pengundi muda pula katanya, momentum keluar mengundi bagi golongan ini biasanya hanya akan kelihatan pada saat akhir dan banyak dipengaruhi oleh kehangatan kempen nanti.
"Sehingga kini, belum ada reaksi jelas daripada pengundi muda terhadap PRN ini. Mereka masih berada dalam mod tunggu dan lihat,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, faktor penarik bagi PRN enam negeri tersebut adalah calon 'poster boy' dan calon setiap kawasan.
"Maka faktor lokaliti penting dalam pola pengundian dan ini boleh menyuntik semangat pengundi keluar mengundi. Apatah lagi jika calon yang ditampilkan itu mampu memahami dan menjiwai pemikiran dan keperluan mereka.
"Isu melibatkan belia pula boleh menarik minat dalam kalangan golongan muda untuk keluar mengundi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca