SHAH ALAM - Sebanyak lima kawasan tumpuan rekreasi orang ramai dikenal pasti berpotensi berlakunya kepala air dan tidak selamat untuk pengunjung beriadah semasa musim hujan.
Pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kuliah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr M Zainora Asmawi berkata, lima lokasi itu adalah Taman Eko Rimba di Hutan Warisan, Selangor; Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Chenderiang, Perak; Kawasan Rekreasi Janda Baik dan Kawasan Rekreasi Chamang di Bentong, Pahang; serta Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
"Elakkan mengunjungi semua lokasi yang mempunyai elemen air melibatkan anak sungai, sungai, jeram, lata atau air terjun semasa musim hujan kerana risiko kepala air yang sangat deras.
"Jika berhadapan dengan keadaan seperti ini, segera keluar dari air dan pergi ke tempat yang tinggi serta jauh daripada tebing sungai dengan segera,” katanya kepada Sinar Premium.
Mengulas lanjut tentang beberapa tragedi meragut nyawa yang telah berlaku akibat daripada kepala air, Zainora berkata, kekerapan insiden yang berlaku di tempat sama merupakan petunjuk penting bahawa kawasan itu tidak lagi selamat untuk aktiviti beriadah di dalam air.
"Kepala air secara semula jadi berlaku di kawasan yang mempunyai aliran anak sungai atau sungai berbukit menuju ke kawasan landai berhutan. Rekod insiden kepala air seharusnya disimpan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan sejarah kes berulang.
"Tahap yang merujuk kepada saiz kepala air perlulah diberi perhatian. Sekiranya saiz kepala air semakin membesar, ia menjadi petanda bahawa kawasan rekreasi itu tidak lagi sesuai untuk dikunjungi.
"Insiden kepala air yang terjadi dengan kerap juga merupakan indikator utama orang ramai tidak sesuai untuk melawat kawasan itu atas faktor keselamatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zainora berkata, pemetaan kawasan ‘hotspot’ kepala air penting terutamanya di peringkat tempatan kerana aspek pemantauan di tapak dapat menghalang kejadian yang tidak diingini.
"Pemetaan ‘hotspot’ penting kerana ia mampu memberi gambaran fizikal lokasi kejadian. Jika pihak berkuasa telah mengetahui kawasan itu tidak selamat, pembangunan tidak akan dijalankan di tempat yang bersifat sensitif kepada impak pembangunan.
"Maka, seharusnya kawasan sedemikian harus dibiarkan dalam keadaan semula jadi tanpa gangguan pembangunan yang berupaya mempengaruhi kestabilan ekosistem kawasan tersebut.
"Maklumat di mana kebarangkalian berlakunya kejadian seumpama itu dapat memberi panduan serta amaran awal kepada pengunjung untuk mengelakkan mereka ke lokasi tersebut dan lebih bijak memilih lokasi yang tidak terdedah dengan bencana,” katanya.
Menurutnya, pengurusan risiko bencana di Malaysia secara umumnya mempunyai kerangka kerja yang baik namun masih lemah di peringkat melibatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
"Semakin banyak agensi yang melibatkan aspek risiko bencana dalam bidang masing-masing sebagai menyokong langkah-langkah dari pihak atasan. Namun begitu, kesedaran masyarakat mengenainya masih perlu diuar-uarkan lagi terutamanya dari aspek kesiapsiagaan bencana.
"Masyarakat perlu peka faktor hujan di kawasan rekreasi yang hendak dikunjungi. Papan tanda amaran hendaklah dipasang di kawasan itu dan maklumat mengenai bahaya berkelah di kawasan berpotensi berlakunya kepala air perlu disebar luas kepada orang ramai,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca