SAYA ada seorang kawan, yang saya berharap sangat dia tidak membaca tulisan ini. Jika dia terbaca, saya berharap pula dia tidak mengajak saya bertumbuk.
Dia harus faham bukan niat saya hendak memburukkannya kerana apa yang akan saya ceritakan ini adalah tentang kehebatannya.
Ya, dia memang hebat. Dia pada hemat saya, seorang pemburu ilmu yang layak diberi anugerah sekiranya jumlah kursus, seminar, bengkel dan ceramah yang dihadirinya diambil kira.
Sepanjang saya mengenalinya lebih 15 tahun lalu, dia tidak pernah berubah. Asal ada kursus, seminar dan seumpamanya, dia akan turut serta. Yang penting, subjeknya mesti berkisar tentang kewangan, kekayaan dan ilmu motivasi berkaitan.
Ada yang percuma tetapi selalunya berbayar. Baginya tidak timbul soal sayang duit kerana ‘duit umpama benih, untuk melihatnya tumbuh, ia perlu ditabur’.
Lagipun katanya, daripada bersembang kosong atau membuang masa dengan media sosial atau mendengar ceramah isteri di rumah, lebih baik cari peluang menimba ilmu.
Sememangnya pun dia banyak ilmu. Dia tahu 1,000 cara bagaimana hendak menjadi jutawan, begitu juga tentang bagaimana menguruskan kewangan dan bagaimana membina realiti daripada mimpi.
Kalau berjumpa dengannya, elak daripada bercakap mengenai tajuk-tajuk itu kerana ia boleh menyebabkan anda terpaksa menganga berjam-jam di depannya. Yang menariknya, sejak mula mengenalinya sehingga sekarang, saya dapati dia tidak banyak berubah.
Masih tinggal di rumah yang sama, menggunakan kereta sama, masih bergantung dengan kenaikan gaji tahunan sebagai penjawat awam. Yang tidak sama cuma isterinya. Dalam tempoh 15 tahun itu, dia telah tiga kali bertukar isteri, dua yang pertama lari bersama anak-anak.
Ada seorang kawan lain, peminat ilmu motivasi juga. Bagaimanapun, dia bukan jenis yang suka menghadiri ceramah dan sebagainya. Minatnya terarah kepada buku.
Di rumahnya terdapat puluhan atau barangkali ratusan buku motivasi sehinggakan buku Self-help, tulisan Samuel Smiles yang kali pertama diterbitkan pada 1884 pun ada dalam simpanannya.
Tetapi dengan sedemikian banyak buku mengenai pengurusan diri dan penambahbaikan diri yang dimilikinya, dia kekal menjadi insan paling tidak terurus, sama seperti waktu kami berkongsi rumah semasa masih bujang dahulu. Janjinya tidak pernah tepat, kerjanya sentiasa bertangguh dan ‘tiang golnya’ selalu berubah-ubah.
Ada sebab kenapa saya mengimbas kembali kisah dua rakan saya itu. Pada hari kedua Aidiladha, saya bertemu seseorang yang memberitahu tentang kerajinan isterinya mengikuti ceramah agama, bukan sahaja di Selangor, malah sehingga ke Perak dan Negeri Sembilan.
"Dia dan kawan-kawannya sanggup berkereta hingga beratus kilometer, lebih-lebih lagi kalau ceramah itu oleh pendakwah terkenal,” ceritanya.
"Baguslah,” kata saya. "Apa isunya? Lainlah kalau dia sanggup berkereta untuk menyaksikan konsert Coolplay atau Taylor Swift. Tak kena gaya, boleh jadi isu politik.
"Masalahnya sudah bertahun-tahun ikuti ceramah, itu belum termasuk ceramah di media sosial, belum termasuk ilmu dikutip daripada buku dan majalah tetapi perangai tidak juga berubah. Suka berbantah, suka mengata orang, tak boleh ditegur,” katanya.
Melihat air mukanya, saya tahu dia serius. Dia berjanggut tetapi bukan scammer. Dia bergelar Datuk Seri tetapi pingatnya asli, bukan dibeli atau diperoleh daripada kerajaan antah berantah.
Saya katakan kepadanya, bukan isteri dia sahaja begitu, sebaliknya ramai lagi. Dan saya bukan main serkap jarang. Hasil pengamatan sejak lama, saya tidak teragak-agak merumuskan orang kita memang suka mencari ilmu tetapi sangat sedikit mempraktikkannya.
Susah hendak ditebak sebab musababnya. Apa yang saya nampak minat mencari ilmu dalam sesetengah orang kita bukanlah kerana hendak menjadi pandai tetapi sekadar mahu kelihatan pandai.
Di samping itu, ada juga dorongan lain seperti mahu kelihatan rajin, hebat dan dalam kes ilmu agama, mahu kelihatan alim. Malah, tidak sedikit yang melakukannya kerana mengisi masa lapang atau sebagai pasport untuk keluar rumah.
Ilmu jika tidak ditekuni secara serius akan menjadi seperti benih ditabur ke dalam semak. Kalau nasib baik, tumbuh. Kalau nasib tak baik akan habis dimakan puyuh.
"Puncanya orang politik juga, Datuk. Cakap lain, buat lain. Rakyat cuma ikut cara mereka,” kata seseorang.
"Dah tahu orang politik tak betul, kenapa ikut mereka?” tanya saya.
"Ikut sajalah, mana tahu disebabkan itu harga barang turun, harga minyak turun...” #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca