SEORANG penuntut universiti, Rashifa Aljunied bimbang seandainya menjalani latihan amali tanpa diberi apa-apa elaun di syarikat tempatnya bertugas.
Lantas dia menzahirkan kebimbangannya dengan cara menggantung kad di lehernya yang tertulis ‘intern bukan buruh percuma’ untuk menarik perhatian umum.
Tindakannya telah menarik perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi ulasan bahawa pihak majikan sekurang-kurangnya pertimbangkan sumbangan bagi menampung kos perjalanan dan perbelanjaan harian pelajar ‘intern’.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pula berkata, pelajar ‘intern’ tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma. Menurutnya, Persidangan Buruh Antarabangsa telah menggesa pihak kerajaan di seluruh dunia memandang serius hal tersebut.
Latihan industri dimasukkan sebagai salah satu komponen kebanyakan jurusan pengajian. Ia penting kerana peratus tinggi pendidikan di universiti adalah dalam bentuk teori.
Jadi, latihan industri perlu bagi mendedahkan pelajar supaya dapat mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari di alam pekerjaan.
Ada majikan melihat pelajar ‘intern’ sebagai mereka yang datang untuk belajar. Justeru, mereka tidak harus dibayar. Sebaliknya, pelajar yang patut membayar kerana mendapat ilmu daripada syarikat yang mengambil mereka.
Sebenarnya tiada paksaan bagi sesebuah syarikat mengambil pelajar ‘intern’. Jika tidak mahu rugi satu sen, usah ambil walau seorang pun. Oleh sebab tiada paksaan tetapi mereka mahu ambil juga pelajar ‘intern’ dan tidak mahu mengeluarkan wang elaun, apa niat mereka?
Adakah logik alasan pelajar ‘intern’ datang untuk berlatih dan menimba ilmu semata-mata? Adakah mereka tidak punya ilmu langsung untuk dipindahkan kepada pihak syarikat?
Saya mempunyai pengalaman yang pelbagai dengan pelajar ‘intern’. Sepanjang tempoh berkhidmat, saya telah mengambil lebih 20 pelajar ‘intern’.
Ada ketikanya saya ambil empat orang sekali gus, sebabnya saya yakin akan memperoleh sesuatu daripada mereka dan saya juga boleh mengajar mereka. Ilmu kita akan bertambah apabila kita mengajar orang lain.
Pelajar ‘intern’ harus dilihat sebagai aset sementara, bukannya yang tidak tahu apa-apa. Apabila mereka datang sarat dengan ilmu teori, inilah masa pihak majikan menyemak apakah pendekatan bisnes dilakukan selama ini masih mempunyai lunas-lunas dan prinsip per-niagaan sepatutnya.
Pelajar ‘intern’ pula akan dapat menyemak atau membuat rumusan apakah ilmu teori yang dipelajari di universiti boleh dipraktikkan dalam alam pekerjaan. Ia proses timbal balik, knowledge sharing yang menghasilkan win-win situation. Pelajar ‘intern’ dan majikan sama-sama untung dapat berkongsi ilmu.
Pelajar ‘intern’ biasanya akan taat dan patuh kepada majikan, sementelah kerana dia mahu keputusan latihan dengan markah bagus. Barangkali ada yang degil tetapi bukankah itu proses pendidikan bagi pelajar dan majikan? Kalau pun mereka kompelin tentang cara kerja tempatnya menjalani latihan, ia baik jika dilihat sebagai maklum balas.
Pelajar ‘intern’ yang tidak mencapai kehendak syarikat akan meninggalkan premis tempat dia menjalankan latihan bila tamat tempohnya. Jadi, usah gusar dengan kehadiran sementara mereka. Jika pelajar ‘intern’ bertugas dengan cemerlang, majikan mempunyai pilihan untuk menawarkan jawatan kepadanya.
Dalam situasi itu, majikan tidak perlu bersusah payah membuat iklan mencari kerja, menemu duga, memberi latihan dan tempoh percubaan kepada pelajar ‘intern’.
Sebaliknya, pelajar ‘intern’ yang menjalani latihan akan mudah diserapkan bekerja kerana dia sudah sebati dengan budaya kerja, misi dan visi syarikat. Dari segi kos melatih pekerja, pihak majikan sudah membelanjakannya.
Baik atau tidaknya kehadiran pelajar ‘intern’, bergantung kepada persepsi syarikat itu sendiri. Jika majikan melatih dan melayani mereka sebagai pekerja sendiri, mereka berpeluang mendapat sumber tenaga baharu.
Sebaliknya jika majikan hanya menyuruh pelajar ‘intern’ buat teh atau menjilat setem, majikan sebenarnya membuang masa. Mereka tidak perlu pun membuka peluang untuk menerima pelajar berkenaan.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca